top of page
muinsapidin

Kurang Maklumat Punca Kes Penipuan Melalui Internet Sukar Dibicarakan

IPOH: Walaupun Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia Negeri Perak menerima 200 aduan penipuan jualan melalui internet tahun ini, hanya 50 sahaja yang dapat dibicarakan.

Ketua Seksyen Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia Negeri Perak, Hamidah Azizan berkata, masalah itu berlaku kerana pengadu tidak mempunyai maklumat lengkap mengenai individu atau syarikat yang menjual produk yang mereka beli.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna supaya terlebih dahulu mendapatkan butir-butir lanjut mengenai pihak yang menjual produk, sebelum membuat pembelian.

“Pengguna mestilah lebih berhati-hati sekiranya ingin membuat pembelian melalui internet,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Mahkamah Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia Negeri Perak di UTC Perak di sini pada Khamis.

Perasmian mahkamah tribunal tuntutan pengguna yang ke empat di Perak selepas Taiping, Teluk Intan dan Manjung itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan.

Sementara itu, Samsudin di dalam ucapannnya memberitahu, sejak 2014 hingga 27 Oktober 2016, sebanyak 1,328 kes telah difailkan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia di negeri Perak.

Menurut beliau, daripada jumlah itu, 457 kes melibatkan barangan manakala baki 871 lagi melibatkan perkhidmatan.

Beliau berharap, dengan adanya Mahkamah Tribunal Tuntutan Pengguna di UTC akan menimbulkan lagi kesedaran pengguna dan peniaga mengenai hak mereka yang perlu dilindungi.

“Oleh yang demikian, KPDNKK selaku kementerian yang bertanggungjawab terhadap pengguna, akan terus berusaha untuk menyedarkan dan meningkatkan pendidikan pengguna untuk menuntut gantirugi dan pampasan,” ujarnya.

Dalam masa sama, kata beliau, ia sekaligus boleh meningkatkan etika perniagaan di kalangan pengilang atau pembekal di dalam membangunkan perdagangan dalam negeri.

Mahkamah Tribunal Tuntutan Pengguna ke empat di Perak itu terletak di Lot 23, Bangunan UTC, Jalan Dato’ Onn Jaafar, 30300 Ipoh.


64 views0 comments
bottom of page