IPOH: Sambutan hari Deepavali 50 anak-anak yatim serta miskin sekitar Ipoh diceriakan apabila diberi peluang memilih baju baru sendiri di sebuah gedung pakaian tradisional India yang terkemuka di bandaraya ini.
Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, C. Sivarraajh berkata, insiatif pergerakkan itu dibuat bagi memberi peluang kepada mereka untuk merasai keseronokan dan pengalaman memilih pakaian sendiri menjelang perayaan tersebut.
Menurut beliau, pihaknya percaya dengan insiatif itu, ia sudah pasti akan membuatkan kanak-kanak berkenaan bersemangat dan gembira menyambut Deepavali pada 29 Oktober ini.
“Ini merupakan program prihatin kami Pemuda MIC terhadap masyarakat India, membantu bagi memastikan sambutan perayaan kali ini lebih bermakna dan ceria untuk mereka golongan kurang bernasib baik ini.
“Kita pilih 50 kanak-kanak ini dari rumah kebajikan sekitar Ipoh serta keluarga-keluarga yang memerlukan bantuan yang datang ke pejabat Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir,” katanya selepas membawa kanak-kanak berusia antara 4 dan 16 tahun itu membeli belah di sini pada Khamis.
Sivaarrajh berkata, Pemuda MIC akan meneruskan inisiatif berkenaan pada perayaan Aidilftiri dan Tahun Baru Cina pada masa akan datang.
Beliau turut mengesa semua pihak mengambil tanggungjawab meraikan golongan kurang bernasib baik pada setiap musim perayaan, tanpa terlalu mengharapkan kepada kerajaan serta parti politik.
“Jangan terlalu bergantung kepada parti politik sahaja, tanggungjawab kita terhadap golongan tidak bernasib baik ini adalah tanggungjawab semua rakyat Malaysia termasuk NGO (pertubuhan bukan kerajaan),” ujarnya.