top of page
muinsapidin

Jabatan Kesihatan Kompaun Tiga Restoran Di Manjung

MANJUNG: Tiga buah premis makanan di medan selera sebuah pasar raya di sini dikenakan kompaun apabila didapati tidak mematuhi syarat pemakanan yang ditetapkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Integrasi Nasional, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, tiga premis itu didapati tidak mematuhi suhu peti sejuk seperti yang ditetapkan.

Malah, kata beliau, apa yang menjijikkan terdapat najis pada telur ayam dan ada serangga di bahagian dapur.

Menurut beliau, nilai rampasan ketiga-tiga premis berkenaan ialah sebanyak RM500 di samping beberapa premis yang hanya diberi amaran.

“Kita memandang serius perkara ini kerana ia melibatkan penyediaan makanan dan boleh mendatangkan mudarat jika tidak disediakan dengan betul,” katanya dalam sidang media selepas menyertai Ops Cahaya di sini pada Khamis.

Kata Dr Mah, pemeriksaan turut dilaksanakan ke atas barangan yang dijual di pasar raya berkenaan, termasuklah memeriksa tarikh luput, penyediaan roti dan kek serta barangan basah lain.

Hasil pemeriksaan, tambah beliau, pihaknya mendapati terdapat beberapa barangan yang telah luput tarikh dan juga tin kemek di pasar raya yang dijual di bahagian penghabisan stok.

“Pasukan kita mengambil tindakan merampas barang-barang berkenaan bagi mengelakkan ia sampai ke tangan pengguna,” ujarnya.

Dr Mah turut mengingatkan setiap pengusaha supaya lebih bertanggungjawab dalam menjual barangan mereka untuk kegunaan orang dan jangan hanya untuk mengaut keuntungan semata-mata.

“Kepada semua pengusaha tidak kira barangan runcit, makanan dan sebagainya harus bertanggungjawab dan mengambil langkah prihatin dalam menjual barangan mereka.

“Begitu juga kepada pengguna, harus menjadi pengguna bijak dalam mendapatkan barangan dan tidak mudah tertipu dengan memeriksa terlebih dahulu barangan yang dibeli,” ujarnya lagi.


14 views0 comments
bottom of page