MANJUNG: Semua pengusaha taman tema diingatkan supaya mengambil pengajaran terhadap isu Rotavirus di salah sebuah taman tema di negeri ini yang menimbulkan rasa cemas rakyat Perak pada beberapa bulan lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Integrasi Nasional, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, semua pihak, khususnya operator dan pengusaha perlu memastikan tahap kebersihan dan keselamatan pengunjung ke taman tema mereka diutamakan.
Tegasnya, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak berkaitan isu kebersihan dan keselamatan sesebuah premis.
Menurutnya, perkara itu penting bagi memastikan tidak ada premis yang diambil tindakan melibatkan kesalahan berkenaan.
“Kita harap setiap pengusaha premis dalam pelbagai bidang yang melibatkan orang ramai supaya lebih mementingkan kebersihan dan keselamatan premis mereka.
“Kerajaan negeri akan mengambil tindakan sewajarnya jika berlaku sebarang masalah yang melibatkan pengunjung,” katanya ketika ditanya mengenai pembukaan semula Bukit Merah Laketown Resort yang ditutup berikutan jangkitan Rotavirus.
Jelasnya, taman itu telah dibuka semula kepada orang ramai kerana didapati telah selamat untuk pengunjung.
“Apabila dibuka semula maksudnya ia telah selamat, namun Jabatan Kesihatan akan sentiasa membuat pemeriksaan bagi memastikan isu yang sama tidak akan berulang,” ujarnya lagi.