KUALA LUMPUR - Sesi Pemilihan Unit Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) di Hotel Grand Kampar, Perak yang dijadualkan pada sambutan Deepavali iaitu 29 Oktober ini akan ditunda kepada tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
PR1MA dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata pihaknya berusaha memastikan keutamaan diberikan kepada mereka yang akan meraikan perayaan itu.
"Kami sentiasa menghormati semua perayaan utama rakyat Malaysia dan telah menjadualkan Sesi Pemilihan Unit kediaman PR1MA mengikut keperluan pemohon kami daripada pelbagai kaum.
"Kami terus berusaha untuk membina kepercayaan rakyat Malaysia di samping menghargai kepelbagaian budaya yang membentuk komuniti PR1MA," menurut kenyataan itu.
Pemuda MIC sebelum ini menggesa PR1MA menukar tarikh undian itu ke hari lain agar penganut Hindu berpeluang mengambil bahagian dalam undian unit perumahan PR1MA itu.
Ketuanya, C. Sivarraajh dalam kenyataan berkata beliau terkejut dengan sikap tidak sensitif lembaga perumahan PR1MA untuk mengadakan undian pada hari penganut Hindu merayakan 'Pesta Cahaya'. - Bernama