IPOH: Pelan Tindakan Strategi Memperkasakan Koperasi (PTS Koperasi) Negeri Perak 2017 – 2020 akan membantu memperkasakan 50 peratus koperasi mikro di negeri ini menjadi lebih besar dan mampu menjana ekonomi ahli-ahlinya.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, NGO dan Masyarakat Sivil, daripada 1,352 buah koperasi di negeri ini, sebanyak 1,160 atau 86.3 peratus berada pada kategori mikro kerana memperolehi pendapatan tahunan kurang daripada RM200,000.
Menurut beliau, kerajaan negeri berpendapat bahawa bilangan itu sangat tinggi dan tidak mampu menyumbang kepada ekonomi ahli-ahlinya.
“Ia melibatkan dua pertiga daripada 380,000 jumlah ahli, itulah sebabnya mengadakan pelan tindakan strategi ini yang dibentuk hasil perbincangan pelbagai pihak termasuk koperasi mikro atau yang telah berjaya, usahawan dan agensi-agensi yang terlibat,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutup Bengkel PTS Memperkasakan Koperasi Negeri Perak 2017 – 2020 di sini pada Rabu.
Samsudin memberitahu, hasil perbincangan yang diadakan sempena bengkel 3 hari 2 malam itu, telah berjaya mewujudkan enam bidang fokus utama PTS Koperasi 2017 – 2020.
Enam fokus itu ialah:
Pemantapan Sistem Pengurusan Koperasi.
Pemantapan Pengurusan Kewangan.
Pembangunan Kapasiti Koperasi.
Pembangunan Pemasaran Produk atau Perkhidmatan.
Teknologi dan Inovasi.
Pencapaian Kualiti & Pengiktirafan Produk.
“Dengan terbina dan lahirnya pelan tindakan ini, kita harapkan kepada pemimpin-pemimpin koperasi, gunakanlah pelan ini untuk memaju dan memantapkan koperasi masing-masing,” ujarnya.
Bagaimanapun, Samsudin menambah, apa yang paling penting ialah kemahuan serta perancangan kepimpinan koperasi sendiri kerana jika mereka enggan berubah mengikut pelan tindakan yang disediakan itu, koperasi mereka tidak akan ke mana.
Terdahulu di dalam ucapannya, beliau memberitahu sebuah jawatankuasa khas akan ditubuhkan, yang dipengerusikan oleh Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Perak untuk memantau pelaksanaan pelan tindakan strategik itu.
Beliau turut meminta kepimpinan koperasi supaya membuka keahlian kepada mereka yang berpendidikan tinggi, termasuk golongan profesional bagi mendapatkan lebih banyak idea untuk memajukan koperasi masing-masing.