top of page
muinsapidin

Gara-gara berselisih faham, suami bakar rumah

Ipoh: Gara-gara berselisih faham dengan isterinya, seorang lelaki nekad membakar rumah yang disewanya menyebabkan lima rumah jiran turut terbakar di Jalan Bendara di sini petang tadi.

Menurut pemilik rumah sewa yang hanya ingin dikenali sebagai Miss Lim, 36, penyewanya yang merupakan pasangan dengan tiga anak telah menyewa rumah itu sejak tujuh tahun lalu.

Beliau berkata kejadian pada 5.36 petang itu telah menyebabkan rumah sewanya dan lima lagi deretan rumah musnah.

Kata beliau isteri lelaki tersebut telah menghubunginya pada pukul 5 petang memaklumkan suaminya ingin membakar rumah selepas insiden pergaduhan antara pasangan tersebut.

"Isteri penyewa menelefon saya memberitahu sejak dua tiga hari ini mereka sering bergaduh dan meminta saya datang ke rumah kerana suaminya sedang membakar rumah.

"Saya memintanya menelefon polis sementara saya bergegas ke rumah itu dan sebaik tiba rumah saya bersama lima lagi rumah sudah terbakar," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, sumber berkata, isteri serta tiga anak mereka kini berada di Balai Polis Pasir Puteh untuk membuat laporan dan polis sedang mengesan lelaki berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan.


35 views0 comments
bottom of page