“Bagaikan mimpi lihat adik maut di depan mata” katanya abang kepada K. Logeswaran, salah seorang daripada enam mangsa kebakaran di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HAS) Johor Baharu.
Sethupathy, 23, berkata lebih menyedihkan apabila dia hanya mampu memanggil nama adiknya sambil berharap kakitangan hospital menyelamatkan adiknya.
“Ketika saya sampai, hospital sedang terbakar. Saya cuba masuk untuk memeriksa keadaan adik tetapi dihalang kerana mereka beritahu keadaan terlalu bahaya.
“Saya hanya mampu merayu mereka selamatkan adik daripada kebakaran. Namun sekitar 2 petang kemudian, seorang doktor beritahu adik saya merupakan antara terkorban dan meninggal. Saya amat sedih,” kata Sethupathy yang tidak dapat menahan sebak ketika menceritakan detik-detik cemas itu kepada pemberita.
Beliau ditemui dirumahnya di Ladang Rubana, Teluk Intan di mana upacara pengkebumian adiknya itu diadakan.
Menurut beliau Logeswaran yang berusia 20 tahun itu baru berkerja di Singapura selama 13 hari sebelum kejadian.
Katanya adiknya yang berulang-alik dari Johor Baharu-Singapura telah dimasukkan ke hospital kerana mengalami kecederaan di bahagian tengkuk belakang akibat kemalangan ketika dalam perjalanan pulang dari bekerja.
Katanya, Logeswaran merupakan seorang adik yang baik dan bertanggungjawab kepada keluarga di mana dia sering membantu ibu bapa mereka dari segi kewangan.
Justeru itu beliau merayu pihak hospital untuk berjumpa dengan keluarganya dan menerangkan bagaimana kebakaran itu boleh berlaku secara bersemuka sekiranya punca kejadian sebenar telah diketahui.
“Kami sekeluarga hanya mahu tahu bagaimana hospital itu boleh terbakar sehingga adik tidak lagi ada di sini...itu sahaja kami mahu tahu..,” ujarnya.
Suasana pilu menyelubungi kediaman keluarga kepada anak ketiga daripada empat beradik tersebut sejak awal pagi Rabu dan mendiang telah menjalani upacara pembakaran mayat dan pengebumian di Tanah Perkuburan Hindu, Ladang Rubana pada petang Rabu.
Logeswaran merupakan antara enam pesakit terdiri daripada empat wanita dan dua lelaki yang maut dalam kejadian kebakaran di tingkat dua unit ICU selatan HSA pada pagi Selasa.