TELUK INTAN: Seorang warga emas maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh bahagian belakang sebuah lori tangki minyak di Kilometer 48, Jalan Teluk Intan – Sitiawan, dekat sini, pada malam Isnin.
Dalam kejadian sekitar 8 malam itu, mangsa, Adnan Abdul Aziz, 69, sedang menunggang motosikal jenis Yamaha LC dari arah Sitiawan menuju ke Teluk Intan sebelum terlibat dalam kemalangan.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Wan Hasaan Wan Ahmad berkata, akibat impak rempuhan itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
"Mangsa dipercayai sedang menunggang motosikal dari arah Sitiawan menuju ke Teluk Intan sebelum merempuh belakang lori tangki minyak yang rosak dan berhenti di bahu jalan.
"Siasatan awal menunjukkan lokasi kejadian merupakan jalan lurus dua hala dengan dua lorong, tetapi gelap ekoran tiada lampu jalan," katanya ketika dihubungi Suara Perak pada Selasa.
Menurut beliau, mangsa yang berasal dari Pekan Baru, Teluk Intan kemudiannya dihantar ke Hospital Teluk Intan pada jam 11 malam untuk menjalani bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
"Hasil daripada bedah siasat tersebut menunjukkan mangsa mengalami kecederaan kepala konsisten dengan kemalangan jalan raya," katanya.
Wan Hassan berkata hasil soal siasat, pemandu lori tangki berusia 22 tahun dari Rawang mengatakan bahawa lori yang dipandunya mengalami kerosakan dan terpaksa berhenti di tepi jalan.
"Bagaimanapun dia (pemandu lori) tidak meletakkan sebarang tanda kecemasan di atas jalan sehingga menyebabkan mangsa merempuh belakang lorinya,” katanya sambil memberitahu tiada tangkapan dilakukan dan siasatan masih dilakukan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.