top of page
muinsapidin

RM60,000 Lesap Dalam Masa Dua Minit

BATU GAJAH: Dalam masa dua minit, empat penjenayah bersenjatakan tukul besi melarikan tiga dulang barang kemas yang dianggarkan bernilai RM60,000 dalam kejadian samun di sebuah kedai emas di Jalan Pejabat Pos, di sini, pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira ‪jam 11.55 pagi itu, kesemua suspek menaiki dua buah motorsikal, dua daripada mereka masuk ke dalam kedai.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah Asisten Komisioner Mohd Nasri Omar berkata, dua penjenayah kemudian memecahkan kaca meja pameran, sebelum melarikkan barang kemas berupa rantai emas.

"Selepas berjaya membawa lari barang kemas berkenaan, suspek kemudiannya dipercayai melarikan diri menaiki dua motosikal ke arah Ipoh," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.

Nasri memberitahu, ketika kejadian, hanya pemilik kedai emas sahaja yang berada di dalam kedai, namun dia tidak diapa-apakan.

Menurut beliau, kedai emas itu mempunyai kamera litar tertutu (CCTV) dan juga dinding cermin kalis peluru di samping beberapa ciri keselamatan untuk mempamerkan emas.

"Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan (KK) kerana menyamun dan siasatan awal melalui kamera litar tertutup di lokasi kejadian mendapati imej empat lelaki berkenaan," katanya lagi.


19 views0 comments
bottom of page