BATU GAJAH: Kerajaan akan menyemak semula penggunaan tempat yang lebih sesuai bagi menggantikan kandang untuk keselesaan 47 penghuni Rumah Kebajikan Kanak-Kanak Cacat Negeri Perak.
Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Paduka Chew Mei Fun, semua penghuni di pusat jagaan itu bagaimanapun perlu terlebih dahulu menjalani diagnosis untuk mendapatkan pengesahan kesihatan dari doktor pakar sebelum diletakkan ditempat yang sesuai.
Beliau berkata, selepas laporan kesihatan setiap penghuni siap dan lengkap, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan masuk dan membuat pemantau dengan lebih kerap di pusat jagaan itu.
“Kami akan semak semula untuk menambah baik atau mengubah suai tempat yang paling sesuai untuk penghuni pusat jagaan di sini supaya ia dilihat sesuai dari pandangan orang awam,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan dan pertemuan dengan AJK Rumah Kebajikan Kanak-Kanak Cacat Negeri Perak di Batu Gajah pada Selasa.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu, Datuk Dr Mah Hang Soon.
Mei Fun mengulas isu rumah kebajikan itu yang mula menjadi perhatian apabila sebuah portal, worldofbuzz baru-baru ini menyiarkan kisah seorang pembaca yang terkejut dengan penemuan kanak-kanak yang kononnya dikurung dalam kandang seperti anjing.
Selain itu, menurut beliau, 12 kakitangan pusat jagaan itu perlu menjalani latihan bagi menambah pengalaman memandangkan kebanyakkan penghuni di situ berusia lebih 18 tahun dan tidak dikeluarkan kerana mereka telah memasuki pusat berkenaan sejak berusia 10 tahun.
“Oleh itu, dari segi undang undang, kita akan mendaftarkan mereka dan sekiranya mereka memenuhi syarat, kita akan menukarkan pendaftaran mereka dari pusat jagaan kanak-kanak cacat ke pusat jagaan Orang Kurang Upaya,” ujarnya.
Mei Fun berkata, beliau juga diberitahu soal keselamatan penghuni di pusat jagaan itu sentiasa diberi keutamaan.
“Apa yang saya diberitahu ada penghuni di sini yang sangat agresif sampai makan tilam (pillow), makan kain dan akan mencederakan diri sendiri tetapi itu terlalu awal untuk membuat kesimpulan kerana doktor pakar perlu membuat diagnosis bagi pengesahan kesihatan kesemua penghuni berkenaan,” tambahnya.
Beliau juga telah mengarahkan pengawai JKM supaya mengadakan pemantauan mengejut yang lebih kerap ke pusat jagaan itu memandangkan sebilangan besarnya sudah melebihi umur 40 tahun.
Selain itu, katanya, penyediaan makanan, kesihatan dan kebersihan di pusat jagaan itu perlu ditambah baik lagi agar penghuninya dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa.
Mei Fun turut mempelawa orang yang memviralkan isu ini untuk datang ke pusat jagaan itu bagi melihat sendiri keadaan di sana.
“Saya jemput orang yang memviralkan isu ini datang masuk melihat keadaan sebenar di pusat jagaan ini dan kita amat telus dalam hal ini,” katanya.
Semalam Pengerusi Rumah Kebajikan Kanak-Kanak Cacat Negeri Perak, R. Sivalingam berkata, beliau terkejut dengan viral yang disebarkan tanpa mendapat kesahihan fakta daripada pihaknya.
Katanya, gambar itu diambil tanpa pengetahuan pihaknya dan viral itu memberi tanggapan negatif orang ramai terhadap pengurusan rumah kebajikan itu.