KETIKA pihak berwajib memberi jaminan bekalan minyak masak stabil dan tidak terjejas, ketika itu jugalah kedengaran penjual dan pembeli mengeluh sukar mendapat minyak masak dalam pasaran.
Rata-rata pusat jualan dikatakan mengalami masalah penyusutan bekalan, hanya tinggal stok lama hingga pekedai terpaksa mengehadkan pembelian maksimum tiga paket setiap pelanggan untuk memastikan bekalan kekal stabil.
Sama ada berlaku pembelian panik atau alasan tipikal iaitu permainan pemborong, ramalan dan cakap-cakap mengenai masalah bekalan minyak bakal terjejas sudah hangat diperkatakan sejak seminggu lalu.
Presiden Persekutuan Persatuan Peniaga Barangan Runcit Malaysia, Hong Chee Meng sebelum ini dilaporkan berkata, dengan kenaikan minyak masak antara 40 sen hingga RM1.90, sudah pasti akan berlaku pembelian panik daripada pengguna sama ada orang perseorangan mahupun peniaga.
Chee Meng berkata, keputusan kerajaan untuk mengurangkan subsidi minyak masak akan menyebabkan rakyat tertekan setelah harga barang-barang keperluan harian yang lain semakin hari semakin mahal.
Harga baharu minyak masak ini dikatakan akan bermula 1 November ini.
Mengulas lanjut, Chee Meng berkata, pekedai runcit kini gagal memperoleh bekalan minyak masak untuk dijual kepada pengguna.
"Kita tidak pasti keadaan kekurangan minyak masak ini akan berlarutan sehingga bila. Saya bimbang keadaan akan menjadi serius sekiranya tidak diatasi dengan segera.
"Buat masa ini, kita sedang menunggu rundingan antara kerajaan dengan pengilang minyak masak bagaimana untuk menambahkan bekalan di pasaran," jelasnya.
Menurutnya, selepas berita kenaikan harga minyak masak diumumkan, ramai pengguna sudah berebut membelinya sama ada di pusat membeli belah ataupun kedai-kedai runcit yang berdekatan.
Ternyata, cakap-cakap bekalan minyak tidak cukup ada kebenaran selepas tinjauan Sinar Harian mendapati, beberapa daerah di negeri-negeri seluruh negara mengalami penyusutan bekalan minyak masak, kehabisan stok dan dicatu pembelian.
Tinjauan di JOHOR mendapati, daerah Kota Tinggi dan Kluang mengalami masalah kekurangan bekalan, sementara di sekitar Johor Bahru, beberapa pasar raya telah mengehadkan pembelian kepada hanya tiga botol untuk setiap pelanggan mereka.
Masalah sama berlaku di SEREMBAN, UTARA semenanjung, Seri Iskandar dan Tapah di PERAK, di mana pengguna berdepan masalah mendapatkan minyak masak jenis paket selain dihadkan pembelian oleh peniaga.
Sementara itu, tinjauan di KELANTAN, bekalan minyak masak masih stabil kecuali di beberapa tempat di Pasir Mas yang terjejas akibat kekurangan bekalan dan peniaga terpaksa mengehadkan jualan untuk setiap pelanggan.
Di Dungun, TERENGGANU, minyak masak didapati telah kehabisan stok dan peniaga mendakwa tiada bekalan baharu diterima.
Situasi berbeza berlaku di Marang dan Kemaman apabila bekalan minyak masak masih stabil.
Pada tinjauan sama, rata-rata peniaga di Kuala Selangor, Selangor mengakui stok simpanan untuk minyak masak jenis paket sukar diperoleh berbanding dalam botol berikutan mendapat permintaan luar biasa pelanggan.
Pekerja kedai, Fazlullah Husaini, 23, berkata, pihaknya terpaksa mengehadkan lima paket kepada setiap pelanggannya buat sementara waktu kerana tidak mahu bekalan tidak mencukupi.
“Mungkin dalam minggu ini atau minggu depan kami terpaksa mengehadkan jualan minyak dalam bentuk paket kerana permintaan cukup tinggi berbanding minyak dalam botol.
“Mungkin disebabkan harga lebih murah...tapi kalau stok tak ada masalah, kami jual macam biasa dan tak kenakan sebarang had kepada pembeli,” katanya.
Pada 22 Oktober lalu, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani mendedahkan penyelewengan barangan bersubsidi begitu serius sehingga untuk minyak masak sahaja mencecah RM540 juta setahun.
Johari dilaporkan berkata, dalam tempoh sebulan, penggunaan minyak masak sepatutnya hanya 40,000 tan metrik tetapi akibat penyelewengan, kerajaan perlu membayar bagi penggunaan 85,000 tan metrik.