IPOH:Skim TEMANITA yang merupakan satu skim mikro kredit baharu di bawah TEKUN bakal melahirkan ramai usahawan wanita di negara ini. Menurut Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, daripada sejumlah RM300 juta yang diperuntukan di bawah TEKUN, sebanyak RM100 juta mungkin digunakan untuk pelaksanaan Skim TEMANITA. "Usaha kerajaan memperkenalkan skim baharu TEMANITA ini jelas membuktikan kerajaan sentiasa prihatin dan serius dalam membantu kaum wanita terbabit dalam dunia keusahawanan,’’ katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis persembahan tarian Bangra Beats anjuran Kolej Antarabangsa Taj (TIC) di Ipoh pada Ahad. Selain itu, katanya, bagi petani pula subsidi sedia ada dalam bentuk baja dan sokongan harga padi akan diteruskan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1.3 bilion
Tajudin juga menjelaskan di bawah program usahawan muda, kerajaan memperuntukan RM140 juta untuk melahirkan 3,000 orang usahawan muda dalam sektor pertanian. Beliau juga berkata bahawa elaun sara hidup untuk nelayan laut sebanyak RM300 dan nelayan darat RM200 akan diteruskan.