top of page
muinsapidin

Pusat jagaan Batu Gajah didakwa dera kanak-kanak OKU?

BATU GAJAH: Rumah Kebajikan Kanak-Kanak Cacat Negeri Perak di sini secara tidak semena-mena menjadi perhatian apabila didakwa mendera kanak-kanak di bawah penjagaannya.

Rumah asuhan ini mendapat perhatian netizen setelah satu tulisan berserta gambar daripada portal ‘World of Buzz’ dikongsi di laman Facebook secara meluas menuduh kanak-kanak di pusat itu dikurung seperti anjing.

Tulisan mengenai pendedahan World of Buzz itu kemudiannya dikongsikan netizen.

Dakwaan itu sampai ke telinga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kerajaan Tempatan, Datuk Rusnah Kasim yang bergegas ke pusat itu petang tadi untuk membuat siasatan.

Lawatan Rusnah yang turut disertai pegawai daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat bagaimana pun mendapati tiada penderaan seperti yang didakwa.

“Apabila saya sampai dan melihat sendiri serta diberi penerangan tentang situasi sebenar yang berlaku di sini, kami mendapati apa yang diviralkan kononnya berlaku penderaan terhadap kanak-kanak di rumah kebajikan ini adalah tidak benar,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berada lebih sejam melawat dan menemuramah pentadbir rumah asuhan itu.

Pengerusi Rumah Kebajikan itu, R. Sivalingam tuut memberi penerangan mendalam tentang situasi sebenar di rumah asuhan tersebut.

Portal World of Buzz dalam satu tulisan yang dimuat naik pada hari ini dibawah tajuk “Malaysian Girl Discovers Shocking Scene of Disabled Kids Locked Up in Cages Like Dogs’ (Gadis Malaysia membuat penemuan mengejutkan kanak-kanak cacat dikurung seperti anjing).

“Kalau kita tak siasat dan kita terus percaya dengn apa yang diviralkan itu, saya boleh dengan mudahnya mengarahkan pengarah JKM tutup rumah asuhan itu. Apabila ini berlaku yang menjadi mangsa adalah penghuni di sini mereka tidak akan ada tempat lain nak pergi,” katanya.

Sambil melahirkan rasa kecewa dengan tuduhan tersebut, Rusnah berkata beliau sendiri tidak tahu motif dan tujuan tulisan palsu tersebut.

“Saya tidak tahu apa motif mereka tetapi apa yang lebih penting adalah masyarakat perlu mendapat maklumat sebenar supaya tidak terus terkeliru dengan berita-berita palsu. Ini sudah tentu mencalar imej rumah kebajikan itu,” katanya.

Sementara itu, Sivalingam melahirkan rasa lega dengan lawatan Rusnah kerana ia dapat mengesahkan dakwaaan insiden penderaan itu sebenarnya tidak berlaku.

Katanya pihak pengurusan sentiasa berusaha memberi terbaik dalam menjaga kebajikan kesemua 47 orang penghuni di rumah kebajikan itu.

Beliau turut menafikan dakwaan kononnya berlaku penderaan kanak-kanak cacat di rumah berkenaan dan menganggap tindakan meviralkan perkara itu sebagai satu usaha untuk memburukkan imej rumah kebajikan berkenaan.

“Ada sesetengah kanak-kanak ini kami terpaksa letakkan dalam kandang kerana ia lebih selamat untuk mereka. Jika tidak mereka akan bergerak merata-rata dan keadaan ini boleh mendatangkan perkara-perkara tidak diingini berlaku,” katanya.


404 views0 comments
bottom of page