IPOH: Speaker Dewan Belia Perak, Salbiah Mohamed membuat teguran keras kepada segelintir perwakilan kerana tidak hadir dalam persidangan Dewan Belia pada Ahad.
Menurut beliau, ketidak hadiran mereka ini menunjukkan komitmen yang tidak memberangsangkan dan tidak menepati tanggungjawab dan amanah yang kerajaan berikan kepada mereka.
`` Dewan Belia Perak hanya mempunyai 60 perwakilan yang pertama sejarah tercipta dan saya juga tidak ingin melihat sejarah tercipta perwakilan DUN Belia yang pertama mempunyai komitmen yang tidak memberangsangkan.
``Ini tanggungjawab dan amanah bukan hanya pada diri kita sendiri tetapi kita memegang tanggungjawab dan amanah untuk belia-belia di luar sana, pandangan belia-belia di luar sana, sebab itu saya juga mengharapkan perwakilan sekalian yang dilantik menjaga amanah yang diberikan kepada mereka,’’ katanya.
Salbiah seterusnya mengucap syabas dan tahniah kepada perwakilan yang memberikan komitmen tinggi untuk hadir pada persidangan hari ini.
Tindakan segelintir perwakilan yang tidak hadir pada persidangan Dewan hari ini mula dibangkitkan oleh Ahli Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Usahawan. Pelancongan dan Pengantarabangsaan, Rahaida Mat Rashid yang meminta Speaker Dewan memberikan perhatian serius dalam perkara ini.
Seorang lagi Ahli Jawatankuasa yang sama. Mohamad Faizal Haramaini yang bangun mencelah berkata, mereka sepatutnya menunjukkan komitmen yang tinggi untuk hadir pada persidangan kerana kerajaan negeri Perak memperuntukan belanja yang besar untuk Belia DUN Perak.
Beliau memuji dan mengucapkan syabas kepada ketua-ketua jabatan yang sanggup hadir mengikuti persidangan yang diadakan pada hari Ahad.
``Ini menunjukkan mereka serius mengikuti persidangan ini tetapi malangnya ada perwakilan yang tidak datang menghadiri persidangan Dewan ini.
``Kita tidak mahu nanti orang luar kata program syok sendiri..orang kita bahas sama sendiri dan sebagai perwakilan yang diberi amanah dan tanggungjawab kita kena serius dalam hal ini demi menjaga imej kerajaan negeri Perak,’’ katanya.