MANJUNG: Open University Malaysia (Perak) mengalu-alukan golongan guru di sekitar negeri bagi melanjutkan pengajian separuh masa selaras dengan saranan kerajaan yang menggariskan pendidikan asas di kalangan pendidik.
Pengarah OUM Perak, Zuraidah Hamid berkata, pengkhususan kursus itu adalah tertumpu kepada Diploma dan Sarjana Muda Pengurusan Pendidikan Awal Kanak-kanak dan terbuka kepada semua pihak.
Katanya, cadangan itu turut dikemukakan oleh OUM Perak cawangan Manjung sewaktu sesi taklimat bersama dengan 100 orang pengasuh kanak-kanak di sekitar daerah tersebut.
"Kami telah menjemput beberapa orang pengasuh dari Taman Asuhan Kanak-kanak swasta sekitar daerah ini untuk mendapatkan sedikit informasi dan input mengenai kaedah pendaftaran ke dalam pengajian separuh masa di OUM.
"Kami meyakinkan mereka bahawa ianya adalah bertepatan dengan sasaran Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat untuk melengkapkan diri dengan asas dalam penjagaan kanak-kanak, dan bahawa kesemua pengasuh wajib mempunyai minimum Diploma sebelum dapat menjadi pengasuh secara rasmi," katanya kepada Suara Perak selepas memberikan sesi taklimat di Dewan Bestari PPD Manjung.
Katanya, pengisian sebenar dalam diploma atau sarjana muda pendidikan awal kanak-kanak perlu diterapkan kepada golongan pengasuh mengikut garis panduan yang telah ditetapkan secara selaras oleh bahagian kementerian.
Tambahnya, kelebihan OUM adalah ianya bersifat fleksibel dan menepati kehendak jadual padat yang menjadi salah satu masalah bagi golongan pengasuh di negeri ini.
"Kami tahu sejak penguatkuasaan peraturan oleh kementerian yang meletakkan minimum diploma agak membawa kesan kepada pengasuh terutamanya mereka yang menjadikan ia sebagai punca pendapatan utama.
"Hakikatnya, ia sebenarnya amat penting bagi melatih pengasuh di peringkat teori agar ianya selari dengan modul asuhan kanak-kanak seluruh Malaysia, turut menjamin masa depan dan kerjaya anda," ujarnya.
Turut hadir, Penyelia Pendidikan Swasta, Lurman Md Rani serta barisan pentadbiran daripada OUM.