IPOH: Kerajaan negeri diminta memperkasakan Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBU) dengan membuat lebih banyak program untuk membantu rakyat di peringkat akar umbi.
Ahli Jawankuasa Prasarana, Pembangunan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Ikhsan Mohd Isa yang membuat permintaan itu berkata, daripada menunggu dasar daripada kerajaan Pusat adalah lebih baik kerajaan negeri Perak memperkasakan YBU.
Menurut beliau, adalah lebih baik kerajaan negeri memberikan prospek yang lebih besar kepada YBU untuk membuat lebih banyak program bagi membantu rakyat sehingga ke peringkat akar umbi.
``Hanya apabila YBU diperkasakan maka Dewan Belia dapat menyuarakan hasrat dan harapan supaya YBU membuat lebih banyak program membantu rakyat di negeri Perak," katanya semasa persidangan Kedua, Penggal Pertama Dewan Belia yang berlangsung di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Ahad.
Namun begitu, katanya, walaupun banyak program membantu rakyat dibuat, namun dari segi mempromosikan program masih lagi kurang dan perlu dipertingkatkan.
``Kedua-dua ini perlu seiring, buat program dan juga buat promosi untuk membolehkan rakyat benar-benar menikmati faedah program-program yang dijalankan oleh YBU,’’ katanya.
Ikhsan turut meminta kerajaan negeri menerusi Jabatan Belia dan Sukan memperkasakan sukan di peringkat sekolah bagi melahirkan bakat- bakat muda untuk diketengahkan bukan sahaja di peringkat negeri malah di peringkat Kebangsaan dan antarabangsa.