top of page
  • muinsapidin

Kerajaan Komited Hapus Gangsterisme Dalam Masyarakat India

HUTAN MELINTANG: Kerajaan komited untuk menghapuskan gangsterisme dalam masyarakat India selain berusaha mempertingkatkan status sosial kaum itu di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan juga mahu supaya masalah keciciran dalam bidang pendidikan di kalangan pelajar India di sekolah-sekolah menengah diatasi segera.

Menurut Ahmad Zahid, beliau telah mengadakan perbincangan dengan pemimpin pemimpin masyarakat India tanpa mengira parti politik termasuk NGO untuk bersama dengan kerajaan bagi mengatasi semua masalah tersebut.

"Kita mahu masalah gangsterisme di kalangan masyarakat India dihapuskan. Untuk itu, program jangka panjang untuk masyarakat India mesti diteruskan,’’ katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian selepas merasmikan program Ethirkalam `Victory for the future’ di Hutan Melintang pada Sabtu.

Hadir sama Pengerusi MIC Perak, Datuk V. Elango dan Pengarah Sri Murugan Centre, Tan Sri Dr M. Thambirajah.

Menurut Ahmad Zahid, kerajaan juga mahu supaya masalah kemiskinan kaum itu yang tinggal di bandar, di kawasan perumahan pinggir bandar dan kawasan ladang ladang dihapuskan.

Beliau turut meminta semua pemimpin NGO dan juga beberapa parti dalam masyarakat India supaya bertaut semula dengan mengetepikan perbezaan pendapat dalam kalangan mereka dan seterusnya membantu kerajaan dalam memastikan nasib masa depan kaum itu terus dibela.

Beliau memuji Pusat Sri Murugan kerana merupakan salah satu pusat yang dapat menyatukan NGO-NGO dalam kalangan kaum india di negara ini.

Sementara itu Pengerusi MIC Perak Datuk V. Elango yang juga Penasihat Menteri Besar Perak berkata, beliau menyambut baik komitmen kerajaan dalam usaha menghapuskan gangsterisme dalam masyarakat india dan program program sedang disusun bagi melibatkan ramai belia india dalam NGO.

"Kita sedang menyusun beberapa program untuk melibatkan belia-belia India menyertai NGO-NGO bagi mengelak terjebak ke dalam kumpulan kongsi gelap dan gengsterisme .

"Terbaharu kita telah membentuk sebuah pertubuhan bukan kerajaan dengan membabitkan seramai 1,500 belia di daerah Manjung dalam pelbagai kegiatan berfaedah termasuk ekonomi dan membina jati diri,’’ katanya.


25 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page