ULU KINTA: Polis Diraja Malaysia mengingatkan orang ramai agar tidak salah faham mengenai tindakan pihaknya mengesan penyebar video insiden beberapa murid sekolah yang berjalan dalam kolam air sambil dicampak ular baru-baru ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata ramai yang beranggapan bahawa tindakan tersebut adalah untuk mensasarkan individu yang menyebarkan video tersebut, namun ianya hanyalah bertujuan untuk membantu siasatan pihak polis.
"Kami mencari dia kerana dia adalah saksi utama dalam kes ini, dan adalah orang yang pertama melihat apa yang berlaku serta siapa yang membaling ular tersebut, apa jenis latihan yang telah budak-budak tersebut jalani.
"Kita telah bertemu dengan individu tersebut dan merakam percakapan untuk membantu dalam penyiasatan kes, jadi janganlah ada yang keliru dan mengatakan kita sengaja mensasarkan individu tersebut, kita tidak pernah menjadikan beliau sebagai suspek," katanya kepada pemberita ketika hadir dalam Majlis Meraikan Veteran dan Bekas Polis Orang Asli (Senoi Praaq)sempena Hari Ulang Tahun 69 Komando ke-47 di Markas PGA, Ulu Kinta di sini pada Ahad.
Khalid berkata, tindakan sesetengah pihak yang mengesyorkan saksi tersebut diberi perlindungan di bawah Akta Perlindungan Saksi adalah tidak masuk akal dan tidak diperlukan.
Jelasnya, sehingga hari ini pihaknya telah merakam 21 percakapan daripada individu yang dipercayai terlibat dalam insiden tersebut dan setakat ini semua pihak memberikan kerjasama yang baik untuk membantu siasatan.
Tambah beliau, pihaknya akan bertanggungjawab memastikan sebarang perlakuan yang tidak betul akan dikenakan tindakan, namun masih lagi menjalankan siasatan yang lengkap untuk dirujuk kepada Peguam Negara.
Sebelum ini, video viral mengenai insiden Angkatan Pertahanan Awam Malaysia ( APM) mencampakkan ular ke dalam kolam untuk kem bina diri yang melibatkan seramai 45 murid sekolah rendah di SK Beluru telah menimbulkan pelbagai reaksi orang ramai.