IPOH: Persidangan kedua Dewan Belia Perak lebih berkualiti dan menepati aspirasi Perak Amanjaya dalam melibatkan golongan belia dalam pembangunan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, persidangan kali kedua itu telah menunjukkan kematangan para perwakilan dan perkembangan yang amat memberangsangkan.
Menurut beliau, semua perwakilian telah membahaskan usul-usul yang dibentangkan dengan idea yang bernas serta kupasan yang menarik di mana mereka telah jelas menunjukkan kematangan berfikir dan berbahas secara holistik, kritis, berasas dan penuh wibawa.
“Usul yang dibawa juga menampakkan kematangan dan kepekaan para perwakilan terhadap isu-isu berkaitan generasi muda dalam pelbagai aspek bagi memperkasa pembangunan belia di negeri Perak ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas penutupan Mesyuarat Kedua, Penggal Pertama Dewan Belia Perak Darul Ridzuan yang berlangsung di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) pada Ahad.
Tambah beliau, kesemua tujuh usul yang telah diluluskan itu juga amat bertepatan dengan aspirasi anak-anak muda di negeri ini secara keseluruhannya.
“Walaupun mereka mempunyai perbezaan pendapat tetapi lontaran idea mereka masih dibuat secara berwibawa dan berhemah kerana mereka tahu ini adalah untuk kebaikan golongan belia negeri ini,” ujarnya.
Persidangan itu telah berlangsung selama dua hari dan dihadiri oleh Speaker Dewan Belia, Salbiah Mohamed, Timbalan Speaker, Mohamad Ziad Mohamed Zainal Abidin dan Hasnul Fairuz.
Turut Hadir Timbalan Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan Aznel Ibrahim dan Maslin Sham Razman.