top of page
muinsapidin

Belanja Berhemah Sambut Deepavali

IPOH: Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan menasihatkan masyarakat India supaya berbelanja secara berhemah ketika menyambut hari Deepavali tahun ini.

Katanya, langkah ini penting diamalkan lebih-lebih lagi dalam keadaan dan suasana ekonomi yang tidak menentu sekarang.

Beliau yakin perayaan Deepavali yang disambut setiap tahun tetap meriah walaupun masyarakat terpaksa berhati-hati dan bijak mengatur perbelanjaan mereka.

"Walaupun Deepavali disambut setahun sekali tetapi disebabkan suasana ekonomi yang tidak menentu masyarakat India perlu berbelanja secara berhemah dengan mengurangkan perbelanjaan dan mengelak sebarang pembaziran,’’ katanya.

Saravanan berkata demikian kepada pemberita selepas melawat para peniaga India sempena Pesta Perayaan Deepavali anjuran MIC Bahagian Ipoh Barat di Little India, Ipoh pada Sabtu.

Lebih 300 pengunjung hadir membeli barangan keperluan termasuk pakaian dan makanan yang disediakan oleh para peniaga di Little India.

Menurut Saravanan, masyarakat India di negara ini amat bertuah kerana kerajaan sentiasa komited dalam membantu mereka dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan dan memperkasakan ekonomi mereka.

Katanya, pelbagai bantuan telah disalurkan kepada masyarakat India dan hampir RM260 juta telah disalurkan kepada masyarakat India untuk sekolah tamil, pra sekolah tamil, latihan kemahiran dan memperkasakan ekonomi mereka.

Katanya, apa yang lebih penting masyarakat India harus bersatu dengan mengetepikan pelbagai pandangan dan pendapat yang berbeza dan seterusnya turut serta membantu kerajaan dalam membangunkan negara.


22 views0 comments
bottom of page