top of page
muinsapidin

Sultan Nazrin Berkenan Sempurnakan Program Halal Malaysia 2016

GOPENG: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Program Halal Malaysia 2016 Peringkat Kebangsaan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng malam tadi. Baginda tiba sekitar jam 8.30 malam pada program yang julung kali diadakan di Perak.

Turut mengiringi baginda Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa (MITI), Datuk Ahmad Maslan dan mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Acara dimulakan dengan bacaan al-Quran dan doa selamat oleh Ustaz Kamaruzzaman Daud. Acara diteruskan dengan sembah ucapan aluan oleh Ahmad Maslan dihadapan baginda serta lebih 10,000 pengunjung yang hadir. Kemuncak acara adalah Forum Perdana Diraja yang menampilkan dua pendakwah bebas terkenal iaitu Datuk Abu Hassan Din dan Datuk Mohd Kazim Elias selaku ahli panel manakala moderator bagi forum bertajuk Halal: Gaya Hidup Ku itu adalah Pengacara Al-Kuliyyah, Fauzi Mustaffa. Forum yang berlangsung lebih sejam itu berkisarkan tentang ruang lingkup halal yang mendasari kehidupan seharian masyarakat. Selain itu, karnival anjuran Halal Industry Development Corporation (HIDC) ini turut mendapat kerjasama kerajaan negeri, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan Unit Perancang Ekonomi Perak (UPEN) dan Perbadanan Menteri Besar Perak dan dan Pejabat Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Negeri Perak.

Objektif utama karnival berkenaan dilangsungkan adalah untuk mewujudkan peluang perniagaan berteraskan halal selain meningkatkan bilangan pengusaha Muslim yang memiliki sijil halal secara sah.


64 views0 comments
bottom of page