top of page
muinsapidin

Perak Turut Pantau Usahawan Baru

GOPENG: Kerajaan negeri Perak akan turut memantau perkembangan usahawan baru di negeri ini bagi memastikan mereka berjaya sehingga mampu memasuki pasaran global

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan & Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, kerajaan negeri telah merangka dua pelan tindakan strategik untuk membangunan usahawan di negeri ini

Menurut beliau, selain pelan tindakan strategik untuk memastikan usahawan yang sedia ada berjaya, satu lagi pelan tindakan strategik ialah untuk memantau usahawan yang baru-baru hendak berjinak di dalam dunia perniagaan.

“Kita juga hendak melihat usahawan baru berjaya dan perniagaan, bukannya usahawan buluh kasap,” katanya ketika berucap menutup program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) 3.0 di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng di sini pada Sabtu.

Hadir sama Timbalan Ketua Eksekutif SME Corp Rizal Nainy, Pengarah UPEN Perak, Nor Eni Ismail, Pengerusi Halal Development Corporation (HDC), Datuk Seri Rizuan Abd Hamid dan Ketua Eksekutif HDC, Datuk Seri Jamil Bidin.

Samsudin berkata, TUBE 1.0 dan 2.0 yang diperkenalkan sejak tahun 2014 telah melahirkan beberapa usahawan yang berjaya sehingga ada di antara mereka yang memperolehi pendapatan sehingga RM50,000 sebulan.

Beliau memberi contoh, Amalia Abd Aziz dari Kuala Kangsar yang menjalankan perniagaan char kuew teow memperolehi pendapatan RM30,000 sebulan dan mampu membuka cawangan di Sungai Siput.

Dua contoh lain ialah Abd Hafiz Sukarman dari Taiping yang memperolehi pendapatan bulanan RM20,000 dan Hasnul Sharifuddin Che Lah dengan pendapatan bulanan mencecah RM50,000.

Di majlis itu, Samsudin turut menyampaikan sijil dan geran kepada 49 peserta TUBE 3.0 yang berjaya menamatkan latihan fasa 1 dan 2 di Kem PLKN Desa Rimba, Kuala Kangsar selama tiga minggu.

Sementara itu, Rizal di dalam ucapannya berkata, sokongan SME Corp kepada peserta TUBE 3.0 tidak berhenti setakat ini sahaja.

Menurut beliau, peserta yang ingin mengembangkan lagi perniagaan mereka ke peringkat seterusnya berpeluang memohon pelbagai bantuan dan latihan yang disediakan oleh kerajaan.

“SME Corp menyediakan pelbagai jenis bantuan kepada usahawan dan PKS termasuk Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP), yang menawarkan bantuan bersepadu kepada usahawan,” ujarnya.

Beliau memberitahu, bagi tahun ini, sejumlah 16 program khusus untuk usahawan muda disediakan oleh kerajaan, dengan peruntukan RM351 juta bagi membolehkan belia meningkatkan keupayaan dan memajukan diri dalam bidang keusahawanan.

“Kesinambungan ini bukan sahaja dilihat dari segi penyediaan dana peruntukan sahaja, tetapi apa yang lebih penting adalah, Program TUBE ini juga menyediakan sokongan perniagaan melalui buddy system yang akan dilaksanakan oleh kaunselor perniagaan di SME Corp,” tambahnya.

Menurut Rizal, melalui pengalaman pihaknya, didapati buddy system sangat penting bagi memastikan kemampanan perniagaan yang dilaksanakan oleh para peserta, dapat dibimbing dan dipantau secara dekat oleh kaunselor perniagaan selama 12 bulan.


29 views0 comments
bottom of page