Kerajaan Negeri digesa menaik taraf taska kelolaan kerajaan dan pada masa sama mengurangkan karenah birokrasi serta caj lesen taska swasta dalam usaha memperbanyakkan kemudahan jagaan kanak-kanak di negeri ini.
Cadangan memperbanyakkan kemudahan pusat jagaan kanak-kanak itu dilihat perlu bagi meningkatkan guna tenaga belia dan wanita dalam pelbagai sektor di negeri ini.
Cadangan itu dibangkitkan Ahli Jawatankuasa Sosial, Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita Asraf Khalid Sulaiman semasa persidangan Kedua, Penggal Pertama Dewan Belia yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini.
“Antara masalah utama dikenal pasti dihadapi golongan wanita adalah bebanan yang perlu ditanggung dari segi kewangan menghantar anak-anak mereka ke taska khususnya swasta kerana terlalu mahal.
“Dengan menaiktaraf taska kerajaan, kita mahu kemudahan sama dipanjangkan kepada mereka yang bekerja swasta.
Manakala memudahkan pembukaan taska oleh pihak swasta oleh Pihak Berkuasa Tempatan misalnya, akan lebih banyak kemudahan pusat jagaan kanak-kanak. Kita juga berharap caj lesen taska dapat dikurangkan dan manfaatnya dinikmati masyarakat apabila caj yang dikenakan untuk menghantar anak di taska akan menjadi lebih murah,” katanya
Asraf berkata mewujudkan lebih banyak kemudahan pusat jagaan kanak-kanak merupakan satu daripada tiga resolusi yang dilihat perlu ada bagi menanggani guna tenaga di negeri ini.
Asraf berkata masalah gangguan seksual di tempat kerja juga perlu ditangani dengan dengan memastikan suasana pejabat yang lebih kondusif bagi kaum wanita.
"Syarikat perlu digalakkan menyediakan ruang kerja yang lebih bersesuaian dengan kehendak wanita seperti menjarakkan stesen pekerja wanita dan lelaki," katanya.
“Antara insiatif lain boleh dilakukan kerajaan negeri adalah mengalakkan setiap syarikat pekerjaan menyediakan parker khas untuk pekerja wanita yang kami rasa tindakan itu dapat mengurangkan kemungkinan gangguan seksual.
“Mungkin dengan kemudan ini dapat menarik kembali minat wanita untuk menceburkan diri dalam sektor pekerjaan awam mahupun swasta,” jelasnya.
Bagi solusi ketiga pula, beliau memberitahu kerajaan perlu memperluaskan promosi dan kempen Program 1Azam.
“Program ini amat lah baik disamping membantu membasmi kumpulan b40 menjana pendapatan golongan wanita ini yang lazimnya suri rumah,” katanya.