IPOH: Pusat Home of Silveryouth (HOS) dicadangkan menjadi pusat sosio ekonomi belia yang mengumpul para usahawan golongan itu dibawah satu bumbung.
Ahli Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Usahawan, Pelancongan dan Pengantarabangsaan, Mohd Shaffek Mohd Sallah berkata, selari dengan pengiktirafan Ipoh sebagai bandar perniagaan sosial pertama di Asia, langkah itu dilihat penting untuk mencapai objektif kerajaan negeri mengupayakan belia di Perak.
“Pusat sosio ekonomi belia ini diharapkan akan menawarkan ruang khas untuk belia-belia untuk berniaga dengan harga yang murah serta pelbagai kemudahan untuk dikongsi bersama-sama.
“Langkah mengumpulkan kesemua usahawan belia dibawah satu bumbung sekaligus mampu mengupayakan perniagaan mereka dalam bentuk jaringan dan lebih efektif,” katanya ketika Sidang Dewan Belia Perak yang kedua di Ipoh pada Sabtu.
Jelas Mohd Shaffek lagi, langkah itu akan memberi ruang bernafas untuk golongan belia yang mahu berniagan tetapi kekurangan modal.
“Dibawah sesuatu ruang itu, kita cadang tempatkansekurang-kurangnya 40 perniagaan yang dilengkapi kemudahan canggih seperti internet kelajuan 21mbps, ruang perbincangan, ruang rehat dan bilik perbincangan.
“Ianya juga boleh dijadikan tempat golongan-golongan belia yang lain datang untuk mendapatkan maklumat aktiviti, bengkel, sesi perkongsian dan juga sesi tukar padangan kesemuanya dibawah satu bumbung,”jelasnya.