IPOH: Dewan Belia Perak yang bersidang pada Sabtu menggariskan enam kaedah utama bagi pembanterasan dadah secara menyeluruh dan efektif di seluruh negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pencegahan Jenayah Masyarakat Sivil dan Patriotisme, Dewan Belia Perak, R Nanthakumar berkata, ia juga bertepatan dengan Pelan Strategik PEMADAM 2015-2020 yang komprehensif dan bersepadu.
Menurut beliau, kaedah tersebut juga bersesuaian dengan enam tonggak utama dalam mencegah penyalahgunaan dadah di semua peringkat dan lapisan masyarakat, termasuk pemutihan kawasan hotspot dan pembanterasan jenayah peringkat mukim.
"Yang pertama adalah memperkasa pertubuhan belia yang bersesuaian dengan arus pembangunan Malaysia yang semakin rancak berubah dan keluar daripada kepompong pemikiran konservatif.
"Kedua adalah suntikan ilmu dan didikan agama yang menetapkan prinsip seseorang dalam hidup mereka selain merancang hala tuju kehidupan berpaksikan nilai positif dan disiplin yang baik," katanya ketika membentangkan usul tersebut di Mesyuarat Kedua, Penggal Pertama Dewan Belia Perak di Bangunan Darul Ridzuan di sini.
Menurutnya, kaedah keempat adalah menggalakkan penglibatan belia di dalam aktiviti kokurikulum seperti kelab atau persatuan selain memperkasa mereka sebagai agen penyebar maklumat.
Selain itu, R Nanthakumar juga mengusulkan peringatan serta kaedah terakhir untuk memerangi najis negara itu secara habis-habisan.
"Kita perlu mewujudkan hab pekerjaan bagi mereka yang pernah jatuh dalam kancah dadah dan memberi sokongan moral kepada mereka agar tidak berasa tersisih dari masyarakat.
"Mungkin tidak kita sedari, namun sekiranya kita dapat mengubah kehidupan mereka, pastinya mereka akan memberi nasihat dan panduan agar tidak terjebak dengan dadah kepada pelapis generasi Malaysia yang lain," ujarnya.
Di dalam pembentangan usul itu, Nanthakumar turut berpesan dan mengajak semua perwakilan untuk berganding bahu dan memberi cadangan bagi penambahbaikan kaedah pembanterasan dadah secara lebih holistik.