IPOH: Dewan Belia hari ini mencadangkan satu langkah dapat dilakukan dalam memastikan bekas-bekas penagih mendapat pekerjaan setelah mereka keluar daripada pusat pemulihan.
Pengerusi Jawatankuasa Pencegahan Jenayah, Masyarakat Sivil dan Patriotisme Dewan Belia, R.Nanthan berkata langkah itu merupakan sokongan moral paling berkesan kerana dapat memastikan bekas penagih tidak terus terisish daripada masyarakat dan mendorong mereka kembali kepada penagihan dadah.
Katanya memastikan bekas penagih mendapat pekerjaan merupakan satu daripada enam kaedah yang dilihat dapat mengukuhkan strategi pembanteran dadah secara menyeluruh dan efektif di negeri ini.
Menurut beliau enam kaedah itu jika dilaksanakan dapat menyokong Pelan Strategik PEMADAM 2015-2020 yang telah dilancarkan kerajaan negeri.
Kaedah lain adalah memperkasa pertubuhan belia yang ada bersesuaian dengan arus pembangunan Malaysia yang semakin rancak berubah, dan keluar daripada kepompong pemikiran konservatif.
"Suntikan ilmu dan didikan agama juga perlu dititikberatkan selain membantu mereka merancang hala tuju kehidupan berpaksikan nilai positif dan disiplin yang baik,"katanya ketika membentangkan usul tersebut di Mesyuarat Kedua, Penggal Pertama Dewan Belia Perak di Bangunan Darul Ridzuan di sini pada Sabtu.
Kaedah kelima adalah menggalakkan penglibatan belia di dalam aktiviti kokurikulum seperti kelab atau persatuan selain memperkasa mereka sebagai agen penyebar maklumat, katanya.
"Mungkin tidak kita sedari namun sekiranya kita dapat mengubah kehidupan mereka pastinya mereka akan memberi nasihat dan panduan agar tidak terjebak dengan dadah kepada pelapis generasi Malaysia yang lain,"katanya.