top of page
muinsapidin

SRIA Bantu Senarai e-Kasih Miliki Rumah Sendiri

IPOH: Skim Rumah Insan Amanjaya (SRIA) yang dibangunkan di Perak sejak lima tahun lalu telah memberi peluang kepada kumpulan terkebawahan, termasuk mereka yang di dalam senarai e–Kasih, memiliki rumah sendiri.

Sejak diperkenalkan tahun 2012, skim yang dikendalikan Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBU) itu telah meluluskan 538 permohonan, termasuk 136 pemohon daripada senarai e–Kasih yang melibatkan peruntukan RM35 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif YBU, Datuk Ismail Saffian berkata, walaupun mereka daripada senarai e–Kasih dan yang tidak mempunyai pendapatan tetap, tetapi prestasi bayaran balik pinjaman tanpa faedah di bawah skim itu, mencecah sehingga 83 peratus.

“Pada peringkat awal dahulu, saya pun takut juga nak beri kepada ramai sangat pemohon dari senarai e-Kasih, tetapi apa yang saya nampak sekarang ni, dia bukan satu perkara yang boleh menjejaskan faktor kutipan kita.

“Itupun saya nampak ada kelemahan di peringkat YBU dari segi pengurusan kutipan dan saya percaya, kalau kelemahan-kelemahan ini kita perbaiki, kita boleh mencapai 90 peratus,” katanya kepada pemberita pada majlis penyampaian surat kelulusan SRIA kepada empat pemohon di pejabatnya di sini, pada Jumaat.

Hasil kejayaan itu, Ismail berpendapat, selain daripada program rumah mampu milik dan projek perumahan rakyat (PPR) yang melibatkan subsidi kerajaan, program seperti SRIA dan perumahan SPNB oleh kerajaan pusat juga perlu diberi perhatian.

SRIA merupakan skim perumahan yang memberi peluang kedua kepada rakyat Perak yang berpendapatan bulanan kurang daripada RM3,000, termasuk mereka yang tidak mempunyai penyata gaji seperti peniaga kecil, pekebun dan pembantu kedai.

Bagaimanapun, pemohon mesti mempunyai tanah sendiri dan YBU menawarkan tiga jenis rekabentuk rumah iaitu Aman yang bernilai RM52,200 serta Damai dan Permai, masing-masing bernilai RM62,200 dengan kadar bayaran balik antara RM218 dan RM259 sebulan, bergantung kepada umur mereka.

Ismail memberitahu, sejak skim itu diperkenalkan, pihaknya menerima 3,109 permohonan walaupun ia tidak dipromosikan bersungguh-sungguh kerana peruntukan yang terhad.

Sementara itu, penerima sria yang ditemui melahirkan rasa syukur kerana berpeluang memiliki rumah sendiri, walaupun tidak mendapat pinjaman daripada pihak institusi kewangan.

Pesara tentera, Suklir Mohamad Shukor, 45, yang akan membuat rumah di kampungnya di Kg Air Hitam, Teluk Intan berkata, usahanya untuk mendapatkan pinjaman bank tidak berjaya kerana pelbagai syarat yang dikenakan.

“Syarat-syarat yang diberi itu membebankanlah, tambahan pula ada faedah dan pelbagai lagi, tetapi dengan Yayasan Bina Upaya ini, alhamdulillah, saya tidak perlu membayar faedah,” ujarnya yang kini bekerja sebagai pemandu lori.

Bagi peniaga kueh, Nurhafizah Mohamad Rohani, 34, dari Parit Haji Manan, Kuala Kurau, kelulusan SRIA adalah hadiah yang paling istimewa kepadanya kerana selama ini mereka sekeluarga menyewa di kampung sejak enam tahun lalu.

“Alhamdulillah, pada pagi yang berbahagia ini saya berita gembira, saya dapat rumah daripada YBU yang bernilai RM62,200, syukur kepada Allah dengan rezeki yang tak terhingga ini,” katanya sambil menitiskan air mata.

Perasaan yang sama turut dikongsi oleh Sarimah Abd Rahman, 44, dari Kampung Makmur, Sungai Siput yang bekerja bersama-sama suaminya di ladang ternakan ayam abang iparnya lebih 10 tahun lalu.

“Pernah juga pergi bank tapi tidak dapat sebab tiada slip gaji, terima kasih kepada YBU kerana luluskan permohonan saya, tambahan pula anak-anak dah besar,” kata ibu kepada lima orang anak yang berumur antara 6 dan 23 tahun.

Seorang lagi ibu kepada lima anak, Zamzarina Yop, 38, berkata, pendapatannya sebagai kerani swasta dan suaminya yang bekerja di kebun sendiri, sukar untuk mendapatkan pinjaman bank sehingga terpaksa tinggal bersama-sama ibunya di kampung.

“Alhamdulillah, kami dapat rumah yang bernilai RM52,200 dan saya yakin mampu untuk membuat bayaran balik dengan kadar yang ditetapkan,” ujarnya.


93 views0 comments
bottom of page