IPOH: Polis Perak telah menubuhkan sebuah pasukan penyiasat berhubung insiden mencampak ular ke dalam kolam yang melibatkan murid SK Beluru.
Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, pasukan penyiasat yang ditubuhkan sejak 16 Oktober lalu itu, terdiri daripada pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar dan Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Perak.
Menurut beliau, pasukan itu akan melakukan siasatan secara menyeluruh insiden tersebut.
Beliau memberitahu, pemula viral video insiden ini telah dikenalpasti untuk membantu siasatan polis.
"Setakat ini polis telah mengenalpasti semua yang terlibat dalam kejadian itu dan percakapan mereka sedang dirakamkan,” katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.
Hasnan berkata, siasatan diteruskan dibawah Seksyen 352 Kanun Kesiksaan (Kekerasan Jenayah) dan Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak - Kanak 2001 (iaitu penganiayaan kepada kanak - kanak) serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Menurut beliau, siasatan kes ini dijangka selesai dalam masa terdekat.