KUALA KANGSAR: Dakwaan kononnya murid-murid yang menyertai ujian bina diri di sini baru-baru ini, turut di bawa ke kawasan perkuburan adalah tidak benar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, dakwaan itu hanyalah anggapan mereka semata-mata.
Menurut beliau, mereka hanya dibawa keliling pejabat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kuala Kangsar yang kebetulan tidak jauh daripada sebuah kawasan perkuburan.
“Tidak ada murid yang dibawa ke tanah perkuburan, tidak ada, tetapi kadang-kadang hanya dinamakan perkara itu, sebenarnya keliling pejabat saja, cuma cerita-cerita,” katanya kepada pemberita ketika melakukan lawatan ke SK Beluru di sini pada Khamis.
Sebelum ini, seorang murid yang menyertai program itu mendakwa, selain daripada insiden mencampak ular ke dalam kolam, mereka turut di bawa ke sebuah kawasan perkuburan Kristian pada jam 2 pagi.
Dalam hubungan ini, Shahidan memberi contoh, semasa program, murid-murid digambarkan seperti berjalan di atas sebatang kayu yang tinggi sehingga mereka terasa gayat, sedangkan ketinggiannya hanya kira-kira sekaki.
Apapun, kata Shahidan, ekoran daripada insiden mencampak ular ke dalam kolam semasa ujian bina diri itu, modul program untuk sekolah rendah akan dikaji keseluruhannya.