top of page
muinsapidin

WCIT 2016 Inklusif Buat Semua Golongan Masyarakat-Nordin

IPOH: Penganjuran Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Dunia (WCIT) 2016 disifatkan sebagai satu forum yang inklusif, bukan hanya untuk orang Islam bahkan meliputi semua golongan masyarakat.

Menurut Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Tan Sri Prof. Dr. Nordin Kardi, secara keseluruhannya kesemua barisan ahli panel yang terlibat menyatakan maklumbalas yang begitu memberangsangkan.

“Mereka (ahli panel dan peserta) beri banyak kepujian kepada kita dengan urustadbir yang begitu sistematik, selain isi kandungan topik diliputi dengan baik.

“Persidangan ini juga merupakan platform untuk mereka memberi pandangan secara terbuka dan inklusif untuk semua golongan masyarakat dalam setiap aspek berbeza.

“Saya turut mendapat respon bahawa ahli panel rasa teruja dengan pelbagai aspek yang diketengahkan di sepanjang WCIT berlangsung, kerana ada sesetengah perkara yang mereka tidak pernah dengar atau ketahui,” kata Nordin semasa ditemui di sesi Perbincangan Meja Bulat bersempena WCIT 2016 pada Khamis.

Jelasnya, bertemakan Dunia Masa Hadapan, persidangan kali ketiga yang dianjurkan dua tahun sekali itu mengupas sub tema relevan berkenaan masa depan pendidikan tinggi, perubahan iklim dan isu kemanusiaan, tadbir urus, ekonomi dan kewangan, media, dan politik antarabangsa serta kempimpinan generasi muda.

“WCIT juga sebagai platform menyatukan input daripada pelbagai disiplin ilmu bagi merintis penyelesaian ke arah kesejahteraan hidup manusia pada masa hadapan.

“Kita alu-alukan pelbagai pendapat walaupun ianya berbeza-beza di persidangan sebegini, ia juga penting untuk menuju kepada sesuatu perubahan yang positif mahupun penambahbaikkan dalam apa jua aspek.

“Boleh dikatakan lebih 30 universiti terlibat, bukan sahaja di Malaysia bahkan dari London, Afrika Selatan, Nigeria, Indonesia dan Brunei,” katanya.

WCIT 2016 diadakan selama tiga hari bermula 18 Oktober dan berakhir pada 20 Oktober di Casuarina@Meru.

Ia turut melibatkan hampir 1,000 penyertaan daripada 15 buah negara dan 17 pembentangan kertas kerja.

Hasil prosiding dan resolusinya akan diterbitkan dalam jurnal berimpak tinggi iaitu Global Journal Al-Thaqafah.


31 views0 comments
bottom of page