TAPAH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memberi amaran akan menarik lesen pembekal dan pemborong minyak masak jika didapati menyorok barangan itu untuk mengaut keuntungan.
Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata pemborong dan pembekal yang didapati melanggar peraturan itu akan dikenakan tindakan tegas menerusi Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dikenakan denda RM250,000 jika sabit kesalahan.
``Peruncit diminta membuat aduan sekiranya mendapati 260 pembekal dan pemborong yang cuba mengurangkan kuota barang daripada kebiasaan dengan alasan harga barang akan dinaikkan,’’ katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan pelaksanaan Skim Kawalan Harga musim perayaan Deepavali di pasar awam dan pasaraya TF Value Mart, di Tapah pada Rabu.
Beliau mengulas khabar angin yang tersebar di laman sosial bahawa harga minyak masak yang bersubsidi dimansuhkan.
Mesej yang menjadi viral menyatakan, harga baharu minyak masak ialah RM2.90 bagi setiap satu kilogram (kg) berbanding RM2.50 ketika ini, manakala bagi minyak masak lima kg pula akan dijual dengan harga RM15.50 berbanding harga sekarang RM13.25.