top of page
muinsapidin

Selain Ular, Murid Dedah Dibawa Ke Tanah Perkuburan

KUALA KANGSAR: Seorang murid perempuan SK Beluru mendedahkan selain menggunakan ular program bina diri kelolaan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut membawa mereka ke kawasan perkuburan . Murid perempuan Tahun Enam itu yang enggan dinamakan berkata, dia telah dibawa ke sebuah tanah perkuburan Kristian pada pukul 2 pagi pada hari motivasi itu berlangsung dalam keadaan yang menakutkan. Murid itu yang sekarang trauma selepas insiden tersebut berkata dia tidak mahu lagi mengikuti mana-mana program motivasi anjuran APM kerana takut peristiwa yang sama berulang lagi.

"Pukul 2 pagi kami dikejutkan untuk kawat kaki. Lepas itu mereka bawa kami perkuburan orang Kristian berdekatan dengan berjalan beramai-ramai..mereka cakap nak letak kami di situ..kalau kubur bukan Islam, kami perlu duduk sebelah gambar orang mati di kubur dan kalau orang Melayu kena pegang batu nisan. "Saya takut...kami semua menangis, " katanya apabila ditemuramah.

Kanak-kanak perempuan itu berkata beliau berada dalam keadaan trauma selepas pulang ke rumah pada Ahad.

"Di rumah saya menangis sebab teringat benda yang terjadi di APM,’’ katanya. Sementara itu bapa murid tersebut, Mohamed Azlan kesal dengan tindakan APM kerana menyebabkan anaknya trauma selepas insiden mencampak ular ke dalam kolam dan di bawa ke kawasan tanah perkuburan "Saya rasa tidak wajarlah mencampakkan ular ke dalam kolam menakutkan murid dan membawa mereka pula ke kawasan tanah perkuburan.

"Akibat insiden itu anak saya sering ketakutan sehingga terpaksa menerima rawatan secara kampung bagi memulihkan semula semangatnya,’’ katanya.

Kata bapa yang bekerja sebagai pemandu lori itu pihak sekolah ada meminta kebenaran ibubapa untuk membawa murid menyertai program jati diri itu.

"Ibubapa diminta tandatangani borang benarkan anak hadir program dua malam tiga hari itu. Tetapi dalam borang tidak dinyatakan apa bentuk aktiviti yang dijalankan," katanya.

Beliau berkata menghantar anaknya pada petang Jumaat 14 Oktober dan mengambil anaknya pada petang Ahad 16 Oktober.

Katanya selain anaknya murid Tahun Enam, program jati diri itu turut melibatkan murid Tahun Empat.

Belau menganggap pendekatan membina diri yang dibuat APM tidak menepati matlamatnya kerana ia lebih mendedahkan mereka kepada ancaman keselamatan dan gangguan psikologi "Bermotivasi membina diri bukan begini caranya,’’ katanya.

Beliau berkata kesemua ibubapa murid-murid terlibat akan berbincang untuk melihat sekiranya tindakan selanjutnya perlu diambil terhadap anggota APM itu.

"Saya juga akan membuat laporan polis setelah mendapat persetujuan semua ibubapa," katanya.


752 views0 comments
bottom of page