top of page
muinsapidin

Polis Cekup Lelaki Proses Dadah di Dapur Rumah

TAIPING: Tindakan seorang lelaki menjadikan dapur rumahnya sebagai makmal dadah akhirnya terbongkar apabila dicekup oleh pihak polis di Taman Simpang Bakti, Simpang pada malam Selasa.

Dalam tangkapan sekitar 7 malam itu, bertindak pada maklumat risikan, pihak polis telah menahan seorang lelaki berusia 47 tahun di sebuah kediaman dan merampas beberapa barangan pemprosesan dadah di dalam kediaman suspek.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah berkata, pihak polis juga merampas pelbagai peralatan dan bahan-bahan kimia dipercayai digunakan untuk memproses dadah jenis methampetamin.

"Kami juga merampas bahan disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 55 gram yang dianggarkan bernilai RM6,500 di pasaran.

"Turut dirampas, di bahagian dapur rumah peralatan-peralatan untuk memasak dan botol-botol berisi cecair disyaki bahan kimia berjumlah 8.5 liter dipercayai untuk memproses dadah jenis methamphetamine.

"Pihak polis mempercayai suspek menggunakan dapur sebagai "mini lab" untuk tujuan memproses dadah," katanya kepada Suara Perak ketika dihubungi pada Rabu petang.

Katanya, semua jenis bahan kimia yang dirampas telah dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan analisis kandungannya.

Harrith Kam berkata, hasil ujian saringan air kencing ke atas lelaki tersebut mendapati saspek positif dadah jenis ampethamin dan mempunyai dua rekod lampau atas kesalahan penyalahgunaan dadah.

"Kes akan disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya ( ADB) 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh digantung hingga mati," ujarnya sambil memberitahu, suspek telah direman selama tujuh hari mulai Rabu.


28 views0 comments
bottom of page