Ipoh: Masjid Negeri Perak, Masjid Sulktan Idris Shah II bakal melangsungkan program Nikah Jama’ie Syar’ie iaitu nikah beramai-beramai yang mensasarkan sekurang-kurangnya 20 pasangan pada 17 Disember 2016.
Menurut Imam Besar Masjid Negeri, Abdul Farid Salleh, pendaftaran terbuka kepada warga Perak berdasarkan permohonan ‘siapa cepat, dia dapat’, selain wang penyertaan berjumlah RM 1,200.
“Nikah itu mudah dan tidak memberatkan dalam Islam, sebab itu kita mahu didik orang ramai supaya jika mahu bernikah, cukuplah sekadar mengikut syarak yang ditetapkan dalam Islam.
“Menerusi nikah jama’ie syarie ini, kita laksanakan apa yang perlu sahaja, maknanya tidak memberatkan dengan adat-adat yang kadangkala mencecah belasan ribu ringgit dari proses pernikahan sehingga majlisnya,” katanya ketika sidang media dipejabatnya di sini pada Khamis.
Abdul Farid berkata, program yang sudah dijalankan sejak tahun 2013 itu ternyata mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada orang ramai yang ingin melangsungkan perkahwinan.
“Borang permohonan ini ada disediakan di Pejabat Agama Daerah di seluruh Perak yang meliputi 16 buah tempat dan mereka juga boleh buat salinan borang berkenaan,” ujarnya sambil memberitahu, tarikh tutup permohonan adalah dua minggu sebelum program tersebut.
Sementara itu, kata beliau, program itu turut bertujuan bagi mengimarahkan masjid yang selama ini hanya dianggap sebagai tempat untuk solat dan mengaji.
“Tidak salah untuk kita adakan aktiviti lain selagi ia tidak bertentangan dengan hukum, sebagai contoh, kita boleh adakan majlis kahwin di masjid dan tidak hanya terhad kepada tempat untuk beribadah sahaja,” katanya.
Pakej yang terdapat dalam nikah jama’ie syarie merangkumi sijil nikah,upah nikah, upah saksi, hidangan pengantin, alunan kompang, penginapan di Hotel Seri Malaysia dan sekeping foto perkahwinan.
Dalam pada itu, Abdul Farid turut mengalu-alukan penyertaan bagi mereka yang berumur 10-15 tahun untuk menyertai Kem Tahfiz Al-Quran yang bakal berlangsung pada 27 November hingga 10 Disember 2016.
“Mereka yang sertai kem ini akan dikawal selia oleh Murabbi (peserta lelaki) dan Murrabiah (peserta perempuan). Yuran berjumlah RM 350 dikenakan sepanjang dua minggu ia berlangsung, makan dan minum ditanggung.
“Ia memberi fokus kepada hafazan juzu’ 30, surah-surah pilihan, teknik menghafaz Al-Quran, teknik temuduga sekolah,” katanya.
Bagi yang berminat boleh menghubungi 05-2548853, Ustaz Nifni 0134148877 dan Ustaz Fathi 0132481814