CHEMOR: Rengekan seekor anak gajah yang kesakitan kerana kakinya cedera terkena jerat dawai mengejutkan beberapa penduduk di sekitar Kampung Ulu Kuang, di sini pada malam Sabtu lepas.
Anak gajah itu, yang berusia sekitar 12 tahun merupakan salah seekor daripada kawanan lima ekor gajah liar yang "bertandang" ke perkampungan Ulu Kuang.
Kesemua gajah itu telah berjaya ditangkap dan kini sedang dalam proses operasi pemindahan oleh Jabatan Perhilitan Negeri Perak. Ketua Unit Pemindahan Gajah Jabatan Perhilitan Negeri Perak, Mohd Rizal Paimin, 34 berkata pihaknya menerima aduan daripada penduduk kampung pada 15 Oktober lepas dan segera melaksanakan prosedur pemindahan dengan segera. Menurut beliau, operasi tersebut melibatkan 35 kakitangan memakan masa beberapa hari kerana perlu mendapat bantuan daripada Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Kuala Gandah serta Jabatan Perhilitan Kuala Terengganu. " Kita menangkap tiga ekor gajah betina, dan dua lagi iaitu anak gajah jantan, masing-masing berusia 25-30 tahun (gajah dewasa) dan 12 tahun bagi anak gajah berkenaan dan kami dapati kaki anak gajah itu cedera ketika memeriksanya. " Kami telah memanggil Pegawai Perubatan Veterinar Perak yang akan memeriksa dan memberikan rawatan lanjut kepada anak gajah itu, dan setakat ini masih lagi dalam proses pemindahan secara berperingkat sehingga Sabtu ini,"katanya. Mohd Rizal berkata dua ekor daripada gajah itu akan dipindahkan pada hari ini ( Khamis) manakala selebihnya akan dihantar ke habitat yang lebih sesuai di Hutan Simpan Royal Belum pada Sabtu ini.
ADUN Hulu Kinta, Datuk Aminuddin Md Hanafiah berkata tindakan pantas pihak jabatan Perhilitan menangkap kesemua lima ekor gajah liar itu satu usaha yang cukup baik. Katanya lagi, sejak dua bulan lalu, sekumpulan gajah liar berkenaan masih berada di kawasan kebun pekebun hingga mendatangkan keresahan kerana mengancam keselamatan mereka. “Setelah beberapa bulan gajah liar ini memasuki kawasan kebun orang kampung sehingga merosakkan tanaman petani jadi dengan operasi kali ini diharapkan masalah penduduk dapat diselesaikan,” katanya. Tambahnya lagi, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Pejabat Daerah yang terlibat mengenai aduan penduduk dan meneliti bentuk bantuan yang akan disalurkan berikutan kemusnahan yang dialami penduduk. Pengalaman "Manis" Bertemu Tok Gajah Sementara itu, ketua kampung Kg Ulu Kuang, Hamdan Ishak, 45 berkata kejadian gajah masuk kampung ke kawasan tersebut telah berlaku sebanyak tiga kali termasuk pada tahun lepas. Hamdan berkata kelima-lima gajah tersebut dipercayai datang daripada kawasan hutan berhampiran dan memasuki laluan perkampungan tersebut untuk mencari sumber makanan namun kehadirannya menimbulkan keresahan penduduk sekitar Kg Ulu Kuang. " Masuk kali ini dah sembilan ekor gajah yang berkeliaran di sekitar Kg Ulu Kuang, Kg Jasa, Kg Ulu Chemor dan Kg Pelantuk dan ini merupakan kawanan terbesar iaitu sebanyak lima ekor. " Saya berterima kasih kepada pihak Jabatan Perhilitan Negeri Perak dan pejabat daerah atas tindakan pantas mereka untuk melakukan Operasi Pemindahan Gaajah dengan secepat mungkin.
Terus terang penduduk sudah mulai bimbang akan keselamatan diri, serta kemusnahan kebun dan tanaman mereka,"katanya kepada pemberita. Jelasnya, sejak laporan diterima pada 15 Oktober pihak Perhilitan dan Pejabat Daerah tidak pernah leka dan sentiasa menjalankan pemantauan harian malah ada antara orang kampung yang cuba memberi makan kepada gajah-gajah tersebut. " Adalah lebih baik sekiranya ia dikembalikan kepada habitat asal kerana perbuatan memberi makan atau mendekati gajah ini berisiko tinggi kerana kita tidak kenal "lenggok" gajah-gajah liar ini,"katanya. Bagi penduduk setempat dan pengalaman bertemu empat mata dan mendengar sendiri ngauman gajah merupakan suatu yang menarik tetapi melahirkan rasa lega kerana haiwan liar ini telah berjaya ditangkap. Sariah Ngah Ismail, 68, berkata, pengalaman tahun lalu masih segar dalam ingatannya melihat sendiri kelibat gajah yang berada hampir dengannya ketika leka mengutip durian di kebun. “Waktu tu hari masih gelap, jadi makcik tak berapa nampak, tetiba saja rasa ada kelibat besar lalu, rupanya gajah..tak sempat nak bawa keluar buah yang dah dikumpul, makcik terus lari balik. “Sebab peristiwa ni jugalah, makcik tak lagi berani turun ke kebun seorang diri,” katanya.
Dia berkata, dalam tempoh seminggu ini, dia kerap kali mendengar bunyi gajah hampir dengan rumahnya. “Selalu nak dekat subuh, dengarlah bunyi gajah...mula-mula risau juga takut dia datang ke rumah, alhamdulillah dah kena tangkap, kuranglah sikit risau tu,” katanya. Menurutnya, serangan gajah di kawasan itu sejak beberapa tahun lalu menyebabkan banyak tanaman kelapa sawit di kebunnya seluas 7 ekar rosak.