top of page
muinsapidin

APM Mohon Maaf Insiden Campak Ular Dalam Kolam

KUALA KANGSAR: Walaupun insiden mencampakkan ular ke dalam kolam semasa ujian bina diri melibatkan murid sekolah yang berlaku baru-baru ini, tidak termasuk di dalam modul program, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengambil tanggungjawab terhadap insiden yang dilakukan oleh pembantu jurulatihnya.

Sehubungan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim memohon maaf kepada semua pihak, khususnya ibu bapa dan pelajar yang merasa tidak senang dengan insiden tersebut.

Beliau berkata, modul berkenaan tidak mempunyai sebarang masalah sejak dilaksanakan pada 2012, namun insiden terbaharu yang mendapat perhatian ramai itu sebagai di luar jangkaan dan tidak sepatutnya berlaku.

Sehubungan itu, kata beliau, pembantu jurulatih yang mencampakkan ular ke dalam kolam, digantung daripada program APM manakala sembilan lagi pembantu jurulatih yang terlibat dalam program tiga hari itu digantung daripada terlibat di dalam program di sekolah rendah.

“Kita selesaikan perkara ini, saya minta semua pihak bertenang, hentikanlah viral dan jangan membantutkan usaha APM dan guru-guru untuk terus berkhidmat kepada masyarakat,” katanya kepada pemberita ketika mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan Beluru di sini pada Khamis.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Dasar dan Pembangunan Pendidikan), Datuk Seri Khairil Awang dan Timbalan Ketua Pengarah APM, Datuk Selamat Dahalan.

Sempena lawatan itu, Shahidan turut mengadakan perjumpaan dengan guru-guru dan ibu bapa di samping mengadakan pertemuan tertutup dengan 42 murid-murid yang mengambil bahagian dalam program yang menjadi viral.

Menurut beliau, pihak polis akan menyiasat apakah motif penyebaran video berkenaan di samping beberapa aspek lain, termasuk pembantu pelatih yang mencampak ular ke dalam kolam tersebut.

“Dimaklumkan bahawa niatnya ialah untuk meningkatkan keberhasilan kepada modul itu sendiri, meningkatkan jati diri kepada pelajar-pelajar sebab dunia sekarang sudah berubah, zaman dulu lain, zaman sekarang lain,” tambah beliau.

Beliau turut menafikan dakwaan kononnya peserta program berkenaan dibawa masuk ke dalam kawasan perkuburan kristian, seperti yang didakwa.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Beluru, Shahidan Ahmad berkata, hasil pertemuan dengan murid-murid yang terlibat pada Rabu, mereka merasa seronok menyertai program tersebut dan merasa mereka lebih berkeyakinan.

“Hentikanlah kerja-kerja viral ini sebab kalau kita tengok video pendek itu memang saya sendiri pun marah, anak saya sendiri pun terlibat dalam program ini.

“Tetapi apabila kita halusi semua, kita berhubung dengan orang yang terlibat, benda itu bukan seperti yang dijangkakan,” ujarnya.


32 views0 comments
bottom of page