IPOH: Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) menjalinkan kerjasama dalam bidang pendidikan dengan tiga buah institusi pendidikan tinggi luar negara dan dua agensi lain melalui perjanjian persefahaman di sini pada malam Selasa.
Tiga institusi pendidikan tersebut ialah Universiti Islam Negeri Syarif Hidayatullah Jakarta, Universiti Islam Negeri Walisongo Semarang dan Medina Institute. Menerusi perjanjian tersebut, USAS turut menjalinkan kerjasama dengan dua buah agensi swasta iaitu Out Bound Trust of Malaysia dan stesen TV Alhijrah. Naib Canselor USAS, Tan Sri Prof. Dr. Nordin Kardi berkata, kerjasama itu melibatkan pertukaran tenaga pengajar dan pelajar. Tambahnya, menerusi kerjasama dengan TV Alhijrah, USAS berhasrat untuk mendapatkan kepakaran stesen televisyen tempatan itu dalam menerbitkan bahan untuk siaran di TV USAS. "Perjanjian ini merupakan hasil perbincangan dengan Persatuan Universiti Islam Asia dalam pertemuan baru-baru ini untuk kerjasama dalam bidang pengajaran, penyelidikan, penerbitan, mahasiswa. "Mengenai kerjasaman dengan TV Alhijrah, ia melibatkan penghasilan bahan-bahan penerbitan memandangkan kini kita sudah mempunyai USAS TV. "Selain itu USAS juga akan menempatkan pelajar-pelajar dalam bidang komunikasi untuk menjalani latihan ilmiah di universiti berkenaan," katanya lagi. Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman tersebut sini pada malam Selasa. Perjanjian tersebut diadakan pada majlis makan malam dan forum sempena Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Dunia (WCIT) 2016 yang bertajuk 'Kecintaan, Keamanan, Kebencian dan Keganasan'. Forum berkenaan disertai oleh sarjana dalam bidang hadis dan tauhid, Shaykh An-Ninowy; wartawan penyiaran dan konsultan media dari England, Lauren Booth serta bekas Setiausaha Agung ASEAN, Tan Sri Dr. Surin Pitsuwan. Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd. Kadir. Sementara itu, Zambry dalam ucapannya berkata, usaha menjadikan negeri ini sebagai pusat ilmu sentiasa menjadi keutamaan kerajaan negeri. "Kita akan meneruskan program pembangunan dalam bidang pendidikan dengan mempromosikan institusi pendidikan yang terdapat di negeri ini," katanya.