IPOH: Tindakan jurulatih Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mencampakkan ular ke dalam kolam ketika murid sekolah sedang menjalani ujian bina diri adalah tidak wajar.
Rakaman video viral - Sumber Internet
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata, walaupun bertujuan untuk membentuk bina diri, mereka mestilah melihat kepada kesesuaian kumpulan sasar.
“Dalam kes ini, ia melibatkan murid-murid sekolah dan yang kedua melibatkan murid-murid perempuan, saya rasa kurang sesuai,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian watikah pelantikan Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Perak di sini pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rakaman video yang menjadi viral dan menerima kritikan netizen yang memperlihatkan beberapa murid menangis dan menjerit-jerit setelah dicampak ular semasa mereka menjalankan modul tersebut.
Rakaman itu juga menunjukkan beberapa anggota APM menyiram air dan menyergah murid untuk menguji keberanian mereka. Seramai 45 murid dari sebuah sekolah rendah di Kuala Kangsar menyertai modul latihan berkenaan di perkarangan pejabat APM Kuala Kangsar.
Abdul Puhat berkata, mengikut Pengarah APM Perak, Kolonel (PA), Mohd Noor Hassan Ashari Sulaiman, perkaraitu tidak termasuk di dalam prosedur mereka.
“Mereka akan semak balik, kemungkinan akan berlaku, apabila tidak mengikuti prosedur, bermakna pegawai-pegawai yang terlibat mungkin akan dikenakan tindakan, sesuai dengan tatatertib jabatan berkenaan,” ujarnya.
Beliau bagaimanapun meminta semua pihak memberi ruang kepada jabatan berkenaan terlebih dahulu untuk menyemak dan menyiasat perkara itu.
Dalam pada itu, beliau mahu semua jabatan yang ingin melaksanakan kegiatan masing-masing, mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh jabatan masing-masing.
Menurut beliau, sekiranya mereka ingin melakukan perkara yang di luar daripada kebiasaan, mereka mesti merujuk kepada ketua jabatan masing-masing terlebih dahulu.