IPOH: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), polis Perak sedang menyiasat kejadian jurulatih dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang mencampak ular ke dalam kolam ketika murid sekolah sedang menjalankan ujian bina diri.
Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, pihaknya setakat ini telah pun menerima satu laporan polis yang dibuat oleh pihak APM pada Isnin lalu.
Beliau bagaimanapun percaya lebih banyak laporan akan dibuat mengenai perkara tersebut.
“Dua keterangan telah pun diambil dan kes sedang disiasat oleh JSJK mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyalah gunakan talian (siasatan terhadap individu yang merekod kejadian itu),” katanya pada satu sidang sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dekat Ipoh pada Rabu.
Pada Selasa Kolonel Pertahanan Awam Perak, Mohd Noor Hassan Ashari Sulaiman berkata, empat jurulatih dan enam pembantu jurulatih yang menjalankan latihan itu digantung tugas serta-merta.
Tambah beliau, kesemua terlibat digantung sehingga siasatan lanjut mengenai kejadian itu selesai selepas didapati berlaku pelanggaran operasi prosedur standard (SOP).
Dalam kejadian tersebut, seramai 45 murid dari sebuah sekolah rendah di Kuala Kangsar menyertai modul latihan berkenaan di pekarangan pejabat APM Kuala Kangsar.
Semasa menjalankan modul itu didapati jurulatih berkenaan telah melempar seekor ular sawa jenis “blood python” ke dalam kolam yang perlu dilalui oleh kumpulan pelajar perempuan terbabit.
Rakaman video yang tersebar sejak beberapa lalu mendapat kritikan netizen yang dianggap boleh menyebabkan pelajar berkenaan trauma.