IPOH: Malaysia berada di kedudukan ke-33 dalam penghasilan program berbentuk Islamik, demikian menurut Laporan Ekonomi Islamik Global 2015-2016.
Menerusi laporan itu juga, didapati negara-negara seperti Turki, Arab Saudi, Mesir, Brunei dan Mesir merupakan negara yang paling banyak berbelanja bagi penghasilan program-program Islamik.
Ketua Pegawai Eksekuti Al Hijrah Media Corporation, Izelan Basar berkata, sehubungan itu, perlu ada usaha daripada semua pihak bagi memperbaiki kedudukan tersebut, selain mempertingkatkan pengeluaran program sedemikian.
“Ia sesuatu yang mengejutkan apabila Malaysia berada di kedudukan ke-33, malah di negara lain seperti Singapura contohnya, mendahului kita menerusi penghasilan program Islamik.
“Menariknya, walaupun peraturan di Singapura melarang mana-mana pengeluaran program berunsur keagamaan, namun, mereka tetap mengeluarkan program berbentuk Islam dan dipasarkan ke luar,” katanya.
Beliau ditemui semasa membentangkan topik ‘Media and International Politics’ bersama dua lagi panelis, Dekan Fakulti Dakwah IAIN Ar-Raniry, Aceh, Dr. Abdul Rani Usman dan Dr. Zefri Ariff bersama moderator, penulis dan pengarah, Uniti Films, Mansor Puteh.
Izelan berkata, langkah yang diambil oleh rakyat di Singapura wajar dijadikan sebagai contoh dalam mengembangkan aspek keagamaan dan kerohanian.
“Di Singapura mereka membeli program Islamik daripada kita, namun tajuknya perlu diubah mengikut kesesuaian di sana, contohnya drama ‘Tanah Kubur’ dari Malaysia diubah kepada ‘Horror From Grave’.
“Alhamdulillah sambutan drama ini walaupun baru satu musim, begitu memberangsangkan,” ujarnya.
Izelan berkata, selain itu, jalinan yang dijalankan di 62 buah surau di Singapura dalam memperkenalkan produk keagamaan kepada masyarakat setempat, adalah sangat berkesan.