IPOH: Polis Perak berjaya menembak mati seorang penjenayah yang aktif melakukan jenayah senjatapi sekitar daerah Ipoh dalam satu kejadian tembak-menembak di Tambun pada awal pagi Rabu.
Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, penjenayah berumur 35 tahun itu amat dikehendaki polis kerana mempunyai sembilan rekod kesalahan jenayah, termasuk satu kes ugut menggunakan senjatapi.
Menurut beliau, dalam kejadian 12.01 pagi itu, pasukan polis yang melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan Ipoh telah terserempak dengan sebuah kereta jenis Vios di Jalan Besar Tanjung Rambutan dalam keadaan mencurigakan.
"Pihak polis telah cuba menahan kereta tersebut tetapi pemandunya terus memecut laju menuju ke arah Kondominium The Heaven, apabila sampai di Jalan Persiaran Lembah Perpaduan kereta yang dipandu suspek telah terbabas di bahu kiri jalan.
"Apabila polis cuba menghampir kereta suspek, tiba-tiba suspek telah keluar dari kenderaan dan melepaskan satu das tembakan dan mengenai baju kalis peluru seorang anggota kami yang berumur 42 tahun berpangkat Sarjan," katanya kepada pemberita semasa sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Perak di Ipoh pada Rabu.
Hasnan menambah, suspek kemudiannya sekali lagi melepaskan tembakan ke arah pasukan polis dan dalam usaha mempertahankan diri, pihaknya membalas tembakan sehingga suspek rebah dan tiada anggota polis yang tercedera dalam kejadian itu.
Beliau berkata, hasil siasatan yang dilakukan, pihaknya mendapati suspek lelaki yang berumur 35 tahun berasal dari Ipoh itu, turut mempunyai sembilan rekod lampau berkaitan dadah, curi kenderaan dan pecah rumah.
"Daripada siasatan lanjut, didapati suspek pernah dikenakan perintah sekatan di Johor sekitar dua tahun lalu serta pernah ditangkap berikutan kes ugutan jenayah menggunakan senjata pada Februari 2016.
“Dalam kes itu, pihak polis telah berjaya merampas sepucuk pistol, 30 butir peluru hidup, sebilah pedang dan satu buku lima, suspek telah dibebaskan dengan jaminan dan kes masih dalam siasatan,” ujarnya.
Hasnan berkata, dengan tumpasnya suspek itu, pihak polis percaya telah berjaya menumpaskan penjenayah yang paling dikehendaki dan juga 'lone ranger' yang aktif melakukan jenayah bersenjata api di daerah Ipoh.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, polis turut merampas sebuah kereta jenis Toyota Vios berwarna kelabu yang disyaki kereta curi atau kereta klon berikutan nombor enjin dan chasis tidak sama dengan nombor pendaftaran.
Turut dirampas sepucuk pistol jenis automatik buatan China, empat butir peluru hidup serta dua kelongsong peluru dan sebilah pisau yang ditemui di tempat duduk pemandu.