top of page
muinsapidin

Pendidikan Tidak Formal Penting Melahirkan Pemimpin Unggul

IPOH: Pendidikan tidak formal turut memainkan peranan penting di dalam memastikan belia di negara ini dapat dibentuk menjadi pemimpin unggul.

Setiausaha Agung Perhimpunan Belia Sedunia (WAY), Ediola Pashollari berkata, pendidikan tidak formal perlu diimbangi dengan pendidikan formal bagi memastikan masa depan sesebuah negara terjamin.

“Memang saya akui pendidikan formal itu amat penting, pergi ke sekolah, universiti dapatkan ilmu-ilmu dalam bidang yang ada minati dan dapatkan sijil.

“Namun pendidikan tidak formal juga tidak kurang pentingnya, melalui pendidikan tidak formal seperti interaksi di luar kelas, pemimpin tempatan, masyarakat setempat dan pakar-pakar pelbagai bidang juga boleh mengasah keperibadian anda untuk bersedia menghadapi dunia sebenar,” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam sesi Generasi Muda dan Kepimpinan.

Sesi tersebut merupakan sebahagian daripada Persidangan Dunia ke-3 Pemikiran dan Tamadun Islam (WCIT) 2016 yang berlangsung di Ipoh pada Rabu.

Menurut Ediola, antara salah satu cara untuk memberi fokus kepada pendidikan tidak formal adalah dengan menceburkan diri dalam organisasi belia.

“Sebagai orang muda, anda perlu menyertai kelab atau organisasi-organisasi belia yang ada, ianya memperluaskan lagi skop pembelajaran secara tidak formal di mana anda boleh mendapat pelbagai ilmu tanpa sebarang sekatan hanya dengan bercakap dengan ahli-ahli, lakukan pelbagai aktivti secara bersama.

“Di situ juga anda akan merasai sendiri bagaimana untuk menyelesaikan sebarang tanggungjawab yang diberikan dan betapa penting untuk menjadi seorang yang jujur dalam menjalankan tugas diberikan,” ujarnya.

Justeru itu, beliau memberitahu, penglibatan belia dalam organisasi sekaligus akan memberi pendedahan awal kepada golongan tersebut mengenai realiti masa hadapan.

“Anda tidak akan pernah habis menimba ilmu, sekiranya anda ingat hanya belajar di universiti membuatkan anda bersedia untuk masa hadapan, maka anda telah salah mentafsir konsep pembelajaran yang sebenar.

“Pembelajaran bukan sahaja melibatkan buku, tetapi turut termasuk dengan pergaulan orang ramai, percambahan budaya dan banyak lagi,” katanya.


46 views0 comments
bottom of page