IPOH: Majlis Belia Negeri (MBN) Perak menawarkan kerjasama dengan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) untuk menjalankan sebarang bentuk aktiviti, termasuk perkemahan dan kursus bina insan.
Timbalan Presidennya, Aswannudin Hariffudin berkata, MBN Perak mempunyai 34 ahli gabungan di peringkat negeri dan daerah yang sangat sesuai untuk menjalankan program yang melibatkan pelajar sekolah.
Menurut beliau, antara gabungan MBN ialah pengakap, pandu puteri, Belia 4B, MAYC, Bulan Sabit Merah, St John Ambulance hinggalah kepada persatuan-persatuan yang mewakili belia Cina dan India.
“Saya yakin kita boleh memberi manfaat berdasarkan kepada kekuatan dan pengalaman MBN sendiri, tambahan pula kita ada cawangan di setiap daerah,” katanya ketika sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai rakaman video yang menjadi viral dan menerima kritikan netizen yang memperlihatkan beberapa murid menangis dan menjerit-jerit setelah dicampak ular semasa mereka menjalankan modul tersebut.
Seramai 45 murid dari sebuah sekolah rendah di Kuala Kangsar menyertai modul latihan berkenaan di perkarangan pejabat APM Kuala Kangsar.
Sambil menyifatkan tindakan jurulatih itu tidak wajar dan tidak boleh diterima, Aswannudin berkata, mereka sepatutnya menyedari bahawa selain ular, kanak-kanak perempuan memang geli dengan banyak binatang lain seperti katak dan lipas.
“Oleh itu, kita minta supaya dalam kursus-kursus untuk membina jati diri, janganlah melibatkan haiwan-haiwan hidup seperti ini, khususnya sppeis yang dilindungi,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua pihak, khususnya kerajaan negeri, Kementerian Pelajaran Malaysia dan APM yang bertindak pantas mengangani isu ini.
Dalam masa sama, beliau juga meminta pihak JPN supaya mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) kerana berdasarkan video yang menjadi viral itu, majoriti pelajar adalah perempuan tetapi tidak ada instruktor lelaki.
“Mungkin yang berlaku ini adalah `wake up call’ bahawa program-program bina insan atau bina semangat untuk pelajar sekolah, kita boleh gunakan kemahiran yang sedia ada.
“Memang MBN peringkat negeri dan daerah ada banyak program melibatkan pelajar sekolah, tetapi selepas ini, kita harap JPN membenarkan lebih banyak lagi,” kata beliau.