top of page
muinsapidin

Kerja baik pulih Velodrom Rakyat siap 2017

Kerja-kerja membaik pulih Velodrom Rakyat, Ipoh akan siap sepenuhnya pada Jun 2017, kata Menteri Belia dan Sukan Khairi Jamaluddin.

Beliau berkata ketika ini kerja-kerja membaik pulih velodrom yang menelan belanja RM11 juta itu kini pada tahap empat peratus.‎ “Kerja membaik pulih itu telah dimulakan pada Ogos lalu dan akan melalui beberapa peringkat.

Setakat ini semuanya berjalan lancar dan mengikut jadual,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Dunia (WCIT) di Ipoh pada Rabu. Katanya lagi, pihak Kementerian akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir bagi membincangkan mengenai pengurusan velodrom itu sebaik ianya siap dibina. “Setakat ini kementerian hanya menjalankan kerja membaik pulih dan Majlis Bandraya Ipoh yang akan menguruskannya sebaik ia siap. “Tetapi saya akan berjumpa dengan Menteri Besar bagi membincangkan perkara tersebut kerana mungkin MBI tidak mempunyai peruntukan untuk menjaga velodrom itu nanti,” jelasnya. Beliau turut memberitahu, velodrom itu nanti akan mempunyai permukaan litar kayu seperti yang telah dinasihati oleh pihak pakar. “Kita memilih kayu kerana ianya merupakan permukaan yang lebih baik untuk berlumba berbanding simen. “Velodrom itu tetap berkonsepkan terbuka dan kita hanya memperbaiki stuktur bangunan itu tidak melibatkan pembesaran kapasiti kerana bajet diperuntukkan hanya RM11 juta,” jelasnya. Velodrom Rakyat merupakan velodrom pertama yang dibina di Malaysia hasil daripada kutipan dan sumbangan dana daripada orang ramai yang diketuai oleh Tan Sri Darshan Singh pada tahun 1984. Selepas mendapat perkenan daripada Almarhum Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, velodrom tersebut kemudiannya dinamakan sebagai Velodrom Rakyat.


26 views0 comments
bottom of page