IPOH: Kementerian Belia dan Sukan melalui Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) sedang melakukan kajian mengenal pasti faktor belia di negara ini menyertai kumpulan pengganas Daesh.
Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, kajian itu termasuk menemubual belia yang telah ditahan dan ditangkap oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana terlibat secara langsung dengan kumpulan pengganas tersebut.
Menurut beliau, kajian itu sangat diperlukan untuk mengetahui apakah sebenarnya faktor yang menyebabkan mereka menyertai kumpulan pengganas.
“Dengan maklumat yang kita perolehi itu, baru kita boleh membentuk dasar program intervensi bagi membantu mengelakkan lebih ramai belia Malaysia terlibat dalam kumpulan pengganas,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas menyampaikan ucapan “Young Leadership of Malaysia” di Persidangan Dunia ke-3 Pemikiran dan Tamadun Islam (WCIT) 2016 di Ipoh pada Rabu.
Tambah beliau, kajian itu nanti akan diadakan dengan kerjasama PDRM serta Jabatan Penjara dan dijangka siap sepenuhnya untuk dibentang di hadapan Jawatankuasa Pembangunan Belia yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak pada Januari depan.
“Kajian ini nanti hanya akan difokuskan kepada belia-belia yang telah direkrut oleh kumpulan pegganas ini, di mana mereka telah ditangkap dan ditahan oleh PDRM.
“Kita telah pun berada di peringkat akhir kajian ini dan kita berharap Insya Allah kajian itu dapat disempurnakan bulan Disember dan dibentangkan di hadapan Perdana Menteri pada Januari,” ujarnya.
Dalam pada itu, dalam persidangan tersebut Khairy turut mengesa umat Islam di negara ini mempamerkan keindahan Islam sebenar dalam usaha menangani Islamofobia.
Jelas beliau, Islamofobia dilihat semakin menjadi-jadi, khususnya pada musim pilihanraya di negara barat yang mengunakan isu itu sebagai sumber meraih sokongan.
“Sebahagian daripada ahli politik mereka menggunakan Islam sebagai satu sumber atau sasaran untuk mendapatkan sokongan, jadi apa yang kita boleh buat adalah mempromosikan Islam yang sebenar melalui teladan, percakapan dan tingkah laku kita kepada dunia, apakah Islam sebenarnya,” katanya.