KUALA KANGSAR: Ibu bapa murid SK Beluru merasa serik untuk menghantar anak mereka ke program motivasi bina diri anjuran Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berikutan insiden mencampak ular ke dalam kolam di sini baru-baru ini.
Sambil menyatakan rasa kesal dan kecewa berhubung insiden itu, mereka turut menyifatkan tindakan jurulatih mencampakkan ular ke dalam kolam itu sebagai satu tindakan yang boleh membahayakan keselamatan murid.
Menurut seorang bapa, Mohd Nazri Mohd Nasir, 56, beliau tidak akan membenarkan lagi anaknya mengikuti program motivasi bina diri APM kerana bimbang dan takut insiden seperti itu berulang lagi.
“Sepatutnya apabila tengok budak-budak menjerit ketakutan melihat ular, tariklah mereka keluar dari dalam kolam, bukannya memancut air menghalang mereka naik.
“Tindakan seperti ini bukannya membina diri tetapi mendedahkan mereka kepada bahaya dipatuk ular,’’ katanya kepada pemberita di Kampung Jeliong, Beluru pada Rabu.
Beliau turut kesal kerana pihak APM tidak memaklumkan aturcara sebenar mengenai program itu dan hanya meminta ibu bapa menandatangani borang untuk mengesahan anak mereka.
“Kalau saya tahu program ini ada memasukkan ular ke dalam kolam, sudah pasti saya tidak membenarkan anak saya mengikuti program motivasi bina diri ini,’’ katanya kesal.
Seorang ibu, Noor Shamsiah Abd Rahman, 34, pula berkata, insiden itu sudah cukup memberi pengajaran kepadanya untuk tidak membenarkan lagi anaknya mengikuti mana-mana program motivasi yang dianjurkan APM di masa akan datang.
“Saya amat kecewa apabila melihat insiden yang diviralkan di mana anak saya bersama rakan-rakannya menjerit-jerit minta ditarik keluar tetapi tidak diendahkan, malah jurulatih terus memancutkan air tidak membenarkan mereka naik.
“Sepatutnya mereka ini diberi pertolongan ditarik ke atas dan tidak membiarkan mereka dalam ketakutan, lebih-lebih lagi apabila seekor ular dicampakkan ke dalam kolam itu,’’ ujarnya.
Beliau bersama-sama ibu bapa murid lain yang terbabit dalam program motivasi itu sedang menimbang untuk membuat laporan polis dan juga kepada pihak Jabatan Pelajaran Negeri.