IPOH: Dua muka baru dilantik sebagai Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Perak bagi sesi 2016 / 2017, manakala empat lagi muka lama dikekalkan, termasuk Pengerusinya, Datuk Jamry Sury.
Pelantikan mereka berkuatkuasa mulai 10 Oktober 2016 hingga 9 Oktober 2017.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ketika mengumumkan pelantikan itu di pejabatnya di sini pada Rabu memberitahu, dua muka baharu itu ialah bekas Exco kerajaan negeri pada 1999 – 2008, Datuk Ho Cheng Wah dan bekas guru yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Taiping, Datin Yatimah Khalid.
Ho menggantikan Datuk Thong Fah Chong manakala Yatimah menggantikan Datuk Ramly Zahari.
Dr Zambry berkata, selain Jamry yang dikekalkan, tiga lagi muka lama yang dikekalkan ialah bekas Timbalan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Zuraida Arshad, bekas Pengarah Pelajaran Negeri, Mohd Idris Ramli dan Poliges a/l Subramaniam.
“Kita harapkan dengan pengalaman yang ada pada mereka, bagi ahli-ahli yang baru khususnya dan ahli-ahli yang lama, akan meneruskan perkhidmatan mereka yang cemerlang bagi menjalankan tugas dan tanggungjawab seperti mana yang telah termaktub di dalam tugas dan peranan mereka,” katanya pada sidang media sempena pengumuman dan penyerahan watikah pelantikan itu.
Pelantikan Yatimah menjadikan SPA Perak mempunyai dua ahli daripada kaum wanita, sekaligus membuktikan pengiktirafan kerajaan negeri terhadap peranan yang boleh dimainkan oleh golongan tersebut.