top of page
muinsapidin

16 Individu Ditahan, 112 Mesin Judi Dirampas

KAMPAR: Walaupun beroperasi secara terbuka dan dilengkapi sistem kamera litar tertutup seperti premis berlesen, taktik dua premis judi haram di sini, akhirnya terbongkar.

Taktik premis judi yang baru beroperasi dua minggu itu tidak bertahan lama apabila diserbu polis pada 8 dan 14 Oktober lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kampar, Supritenden Ng Koon Soon, serbuan dilakukan sepasukan anggota polis di dua lokasi berasingan di Desa Lawan Kuda dan Jalan Mambang Diawan antara jam 8.15 malam dan 3.30 petang.

“Dalam serbuan pertama yang dijalankan di Desa Lawan Kuda Gopeng, kita telah berjaya merampas 39 buah mesin perjudian simulator pelbagai jenis.

“Turut kita tanggap adalah seorang lelaki Cina tempatan berumur 35 tahun dan seorang perempuan Cina tempatan berumur 39 tahun beserta dua lelaki warganegara Bangladesh dan satu Thailand yang dipercayai pekerja premis berkenaan,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini pada Rabu.

Ng memberitahu, hasil serbuan ke atas kedua-dua premis itu, 16 individu termasuk 12 warga asing ditahan dipercayai pekerja dua premis berkenaan, 112 mesin judi haram bernilai lebih RM50,000 serta wang tunai dipercayai hasil perjudian bernilai lebih RM18,000 dirampas.

Di samping itu, kata beliau, 80 pelanggan yang sedang asyik bertaruh di dua premis berkenaan turut ditahan sebelum dilepaskan.

Beliau memberitahu, empat rakyat tempatan yang juga pekerja premis direman selama 14 hari sebelum dituduh dibawah Seksyen 4b (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000 bagi setiap mesin judi dan penjara tidak melebihi lima tahun.

Manakala 12 warga asing direman tempoh yang sama dan disiasat dibawah Seksyen 4a Akta Imigresen 1959.


33 views0 comments
bottom of page