Oleh Haron Shafie editor@suaraperak.com IPOH: Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir telah diiktiraf ‘Master of Peace’ berikutan peranan dan sumbangannya dalam mengetengahkan nilai moral sejagat.
Pengiktirafan itu diberikan Duta Bosnia Herzegovina di Malaysia, Emir Hadzikadunic atas usaha murni Dr Zambry yang sentiasa menggalakkan etika moral suci yang menghalang seseorang daripada berprasangka tidak baik terhadap orang lain yang berlainan kaum dan agama.
Menurut Emir, Dr Zambry dilihat sebagai pemimpin yang berjaya menerap nilai-nilai moral sejagat ke dalam perhubungan melibatkan pertubuhan keagamaan, kaum dan keharmonian antarabangsa.
“Sebagai negara yang pernah bergolak, usaha beliau (Dr Zambry) sangat dipandang tinggi rakyat Bosna Herzegovina. Maka kita mahu memberi pengiktirafan ini,’’ katanya semasa membentangkan topik Climate Changes and Humanitarian issues di The 3rd World Conference on Islamic Thought and Civilization (WCIT) 2016 di Hotel Casuari @ Maru, Ipoh pada Selasa.
Beliau turut memuji langkah yang diambil kerajaan Malaysia dalam mempertahankan sebarang bentuk keganasan yang mengancam keselamatan rakyat.
“Malaysia berjaya melaksanakan tanggungjawab dalam melindungi rakyatnya dari sebarang ancaman keganasan dengan mengekalkan keharmonian negara,’’ katanya.